Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Cadang debat politik: Memang ramai pandai, tapi kerja 'ke laut' - KJ

Tidak semua tokoh politik yang petah berdebat mampu bekerja dengan baik, kata bekas menteri yang kini menjadi deejay, Khairy Jamaluddin.

Katanya kepetahan seseorang di atas pentas bukan menunjukkan individu terbabit boleh diharapkan.

Justeru, Khairy memohon segelintir yang menganggap sesi debat untuk pemimpin politik sebagai aspek sangat penting agar berhenti berfikiran begitu.

“Sejujurnya, berhenti mengagung-agungkan perdebatan.

“Sebagai bekas ahli politik yang tidak pernah lari daripada perdebatan dan sentiasa meredah cabaran, saya fikir ada cara lain untuk menilai pemimpin," katanya di media sosial.

Mengiringi pandangan dilontarkannya itu ialah tangkap layar laporan Malaysiakini pada 22 Feb lalu. Ia memaparkan cadangan pelakon, Iedil Dzuhrie Alaudin, agar negara ini mencontohi Indonesia yang mengamalkan debat terbuka setiap kali pemilihan calon presiden mereka.

Kata Iedil, melalui debat politik rakyat bukan saja dapat melihat idea dibawa seseorang calon bahkan proses itu juga membawa kesan positif serta mencerminkan budaya politik sihat.

Pandangan itu diberikan Iedil yang sudah lapan tahun menetap di Indonesia.

Mengulas lebih lanjut mengapa dia menganggap debat bukan pentas mutlak untuk menilai seseorang ahli politik, Khairy bertanya sekali gus memberikan jawabannya: “Kamu nak tahu kenapa? Ramai yang pandai berdebat tapi dari segi pelaksanaan kerja ‘ke laut’ (tidak boleh diharapkan),” katanya.

Khairy pada masa sama menjelaskan pendirian itu bukanlah bermakna dia menolak sama sekali amalan debat dalam kalangan ahli politik.

Jika berpeluang kembali ke pentas politik selepas ini, katanya, dia juga tidak menolak untuk terus berdebat.

Cuma, katanya, dia berharap rakyat yang terus menyokong kariernya mampu menilai kepimpinannya secara menyeluruh.

“Jika saya kembali berpolitik, saya akan terus terlibat dalam perdebatan.

“Tapi saya harap orang ramai menilai saya secara holistik dan bukan sekadar melalui prestasi debat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS