Paling Popular
Terkini

Meskipun memang tidak suka meminta-minta, pelakon veteran popular era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid kali ini terpaksa beralah dengan nasib yang menimpa.

Dharma ketika ditemui Malaysiakini baru-baru ini berharap ada pihak stesen televisyen sudi memberikan dia ruang untuk terus berkarya meskipun keadaan kesihatannya tidak begitu baik.

“Bagi aku satu jalan (peluang bekerja). Saya pun tidak mahu meminta-minta atau meminjam. Ini pertama kali (merayu). Saya tetap nak kerja walaupun tidak kuat.

“Saya bukannya harapkan sumbangan, cuma kami (sekeluarga) berhasrat untuk teruskan satu program berunsur keagamaan yang diusahakan sebelum ini selepas sebuah stesen TV tempatan menolaknya atas alasan tiada peruntukan," katanya.

Menegaskan dia bersungguh-sungguh mahu tetap bekerja, Dharma, 68, berkata dia pernah menghantar sebuah telefilem untuk sesi saringan (pitching) namun nasib tidak menyebelahinya.

Menurut pelakon yang dikenali dalam filem Adik Manja itu, sekiranya ada pihak sudi membuka jalan untuknya, berpeluanglah dia membiayai pendidikan dua anaknya, Siti Qurratu Aini, 36; dan Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35; yang kini menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Tambahnya, dengan pekerjaan yang diperoleh itu juga, dia yakin dapat melunaskan bayaran sewa kediaman mereka di Wangsa Maju yang perlu dilunaskan segera.

Jika tidak Dharma sekeluarga perlu mengosongkan rumah tersebut selewat-lewatnya 31 Mac ini gara-gara tunggakan sewa.

“Sekarang ini tuan rumah berikan notis keluar sebab kami dah hampir lapan bulan tidak mampu bayar sewa,” katanya yang kali terakhir berlakon kira-kira 10 tahun lalu.

Dharma berkata demikian ketika ditemui pada program Ziarah Madani bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kehidupan Dharma berubah selepas dia diserang angin ahmar ringan pada 2019 dan mengakibatkan pelakon terbabit berdepan kesan sampingan seperti lemah daya ingatan selain kesukaran untuk bertutur dengan baik.

Namun, kata Dharma, jika ada pihak sudi menerima projek diusahakannya itu, diyakini tidak akan menimbulkan masalah buat produksi kerana tugasnya akan dipikul oleh Muhammad Al Syafiq serta pekerja kru sedia ada.

Sementara itu, Muhammad Al Syafiq mendakwa, stesen TV terbabit sebelum ini menawarkan RM360,000 untuk membeli dan mendapatkan hak milik program berunsur keagamaan terbitan mereka.

Disebabkan pulangan wang lumayan yang dijanjikan itu jugalah, mereka sekeluarga tidak berfikir panjang lalu mengambil keputusan untuk berpindah di kediaman sekarang.

“Ketika ini saya masih dalam peringkat pengajian asasi, kakak pula mengambil ijazah sarjana muda, kami berdua dapat keputusan cemerlang, justeru pensyarah tak galakkan kami untuk berhenti.

“Disebabkan hilang peruntukan daripada program TV terbabit, saya perlu cari ikhtiar lain iaitu bekerja sambil belajar.

“Memang macam-macam dah dilakukan, tapi disebabkan bukan bekerja sepenuh masa, gaji yang diperoleh terlalu sedikit. Lagi pening apabila tuan rumah arahkan keluar, kami nak duduk di mana nanti?” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS