Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Malaysia juga patut buat debat antara calon PM, kata Iedil

Pelakon Iedil Dzuhrie Alaudin berpendapat debat di antara calon perdana menteri menjelang pilihan raya umum (PRU) adalah satu langkah yang boleh menyumbang kepada amalan politik sihat.

Berkongsi pengalamannya sendiri, Iedil yang sudah lapan tahun menetap di Indonesia berkata, di negara tersebut dia melihat perkembangan yang menarik apabila ketiga-tiga calon presiden diletakkan sepentas untuk berdebat.

“Kalau di Indonesia ia debat yang berlaku di antara calon presiden, maka jika di Malaysia kita boleh jadikan ia sebagai debat antara calon PM (perdana menteri).

“Tapi sayangnya di Malaysia tidak ada debat terbuka sebegitu. Jika ada, saya pasti ia adalah langkah yang sangat-sangat sihat seperti yang saya lihat di Indonesia.

“Bagi saya, debat antara PM mungkin boleh menjadikan politik kita lebih telus,” katanya.

Untuk rekod, Iedil berkahwin dengan pelakon Indonesia, Prisia Nasution pada 2016.

Lebih teruja kata pelakon yang terlebih dulu dikenali dengan nama Iedil Putra itu, dia melihat semangat ditonjolkan rakyat Indonesia adalah sangat luar biasa.

Sewaktu debat berlangsung, katanya, rakyat Indonesia sanggup meninggalkan seketika pekerjaan dilakukan demi meluangkan masa menyaksikan idea yang dibawa calon presiden masing-masing.

Untuk mengikuti perkembangan tersebut, kata pelakon One Two Jaga itu, mereka pergi ke lokasi debat atau mengikutinya secara langsung melalui saluran YouTube.

“Mungkin orang luar akan nampak suasana macam kecoh tapi sebenarnya semua terkawal malah dakwaan rakyat Indonesia kuat merusuh juga tidak benar.

“Mereka memang mempunyai semangat luar biasa, cara mereka berdemonstrasi juga berbeza jauh dari daripada kita.

“Saya dan isteri pula selesa memilih untuk menyaksikan debat di rumah saja bagi mengelak macet (kesesakan lalu lintas) kerana Jakarta ini pusat semua kempen," katanya.

Terbuka hati kerana Pierre Andre

Tambah Iedil, 39, pada masa sama 'debat' antara penyokong juga hangat termasuk dalam aplikasi WhatsApp.

Apabila pilihan raya berakhir, katanya, suasana kembali tenang.

Iedil berkata demikian pada majlis doa selamat dan sidang media filem terbaru lakonannya, Jangan Pandang Belakang 2, di ibu pejabat Metrowealth di Petaling Jaya baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, pelakon Interchange itu berkata, keputusan awal pemilihan presiden menunjukkan gandingan Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka menang dan ia mengundang dakwaan wujudnya penipuan dalam proses tersebut.

“Sama saja senario sewaktu PRU di Malaysia di sana juga ada dakwaan kertas undi tidak betul dan terdapat salah kira.

“Lepas keputusan awal meletakkan Prabowo dan Gibran mendahului dua pesaing mereka, ada pihak menuduh proses dilakukan tidak telus dan sebagainya,” tambah Iedil.

Kiraan awal menunjukkan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto, mendapat lebih 50 peratus undi dan meninggalkan dua regu lain yang mencabarnya jauh di belakang.

Berkongsi kenapa dia terbuka hati berlakon dalam filem terbitan Metrowealth International Group (MIG) itu, Iedil berkata ia disebabkan dia cuba mencari cabaran baru dalam berkarya.

Menurutnya, keputusan itu ditambah pula kerana dia ingin berlakon di bawah arahan Pierre Andre yang sudah lama tidak membuat kemunculan dalam industri.

“Ini filem seram pertama saya di Malaysia. Sebelum ini yang pertama di Indonesia. Itupun saya terima kerana ingin sahut cabaran.

“Apabila ditawarkan berlakon dalam Jangan Pandang Belakang 2, saya masih skeptikal tapi lepas dengar Pierre terlibat, saya mahu turut serta.

“Kita juga tahu Jangan Pandang Belakang pernah cipta fenomena, jadi sekarang lepas 17 tahun filem itu diterbitkan, kami mahu bawa semangat yang sama,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS