Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fattah Amin syukur lakonan diterima baik peminat Indonesia

Pelakon Fattah Amin kini boleh berbangga apabila kemunculannya di persada perfileman Indonesia melalui filem Trinil: Kembalikan Tubuhku mendapat sambutan baik masyarakat di negara itu.

Kata Fattah dia langsung tidak menjangka penonton daripada pelbagai peringkat usia menggemari lakonannya.

“Ada peminat belasan tahun sanggup datang dari Bandung ke Jakarta semata-mata mahu bertemu saya sewaktu tayangan filem itu di sana.

“Lebih menyentuh perasaa apabila peminat itu beremosi dan menangis kerana berpeluang berjumpa saya.

“Saya tak sangka watak Yusuf benar-benar beri kesan kepada penonton di Indonesia,” katanya.

Justeru, Fattah, 32, amat berterima kasih kepada pempengaruh Indonesia kerana memberi reaksi positif terhadap watak dilakonkannya melalui saluran YouTube mereka.

Selain itu, Fattah juga bersyukur kerana diberi peluang berlakon dan bekerja di bawah arahan pengarah tersohor seperti Hanung Bramantyo.

Katanya, ia satu rezeki terpijak dan sekali gus boleh membuka ruang untuk dia mengembangkan lagi sayapnya di negara jiran itu.

“Saya sedar sebelum ini saya tidak banyak berlakon filem atau menjadi hero dalam filem.

“Jadi saya amat bersyukur dan anggap ini satu rezeki yang tidak disangka-sangka,” tambahnya.

Fattah ditemui pasa majlis pratonton Trinil: Kembalikan Tubuhku di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur hari ini.

Fattah dalam filem tersebut melakonkan watak seorang pawang bernama Yusuf.

Filem seram arahan Hanung Bramantyo itu turut dibintangi Carmela Van Der Kruk, Rangga Nattra, Wulan Guritno, Shalom Razade, Alexzander Wlan, Willem Bevers, Elly D. Luthan dan ramai lagi.

Trinil: Kembalikan Tubuhku akan mula ditayangkan seluruh pawagam seluruh Malaysia bermula esok.

Untuk rekod, sebelum ini Fattah membuat kemunculan sulung di Indonesia melalui filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang ditayangkan pada Ogos 2022 di negara itu.

Pada masa sama, suami kepada aktres Nur Fazura itu memberitahu dia perlu sentiasa teliti serta membuat semakan terhadap maksud mentera yang dituturkan dalam dialog bagi mengelak perkara yang bercanggah dengan agama Islam.

Namun, katanya, dia berasa lega kerana mentera tersebut tidak melanggar garis panduan dibenarkan dalam penerbitan filem tempatan.

“Saya kaji karakter ini, termasuklah setiap dialog yang saya tuturkan ketika melakonkannya.

“Saya juga banyak bertanya tentang mentera diucapkan dalam filem ini.

“Tiada unsur pemujaan atau pun perkara yang bercanggah dengan Islam dalam dialog berkenaan,” katanya yang mengambil masa lama untuk menghafal dialog filem itu dalam bahasa Jawa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS