Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Saman Hun Haqeem: Mahkamah arah bayar lebih RM600,000

"Ibarat kacang lupakan kulit,” kata Pengarah Urusan Metrowealth International Group (MIG) susulan tindakannya menyaman pelakon Hun Haqeem kerana isu pelanggaran kontrak tiga tahun lalu.

Kata David Teo, Mahkamah Persekutuan pada 27 Nov tahun lalu menetapkan pelakon terbabit perlu membayar ganti rugi lebih RM600,000 kepada MIG selepas menarik diri daripada terus bernaung di bawah syarikat terbabit.

“Mengikut keputusan, Hun Haqeem diarah memulangkan ganti rugi sebanyak RM613, 950 kepada kami dengan syarat saya buktikan semua kos kerugian.

“Selain itu, dia juga diarah membayar semula tunggakan gaji berjumlah RM30,240 yang kami berikan kepadanya sebelum ini.

"Setakat ini, dia baru bayar separuh dari jumlah penuh wang itu.

“Jadi saya nak ingatkan, kalau sudah tanda tangan kontrak, anda tetap bersalah kerana melanggarnya,” kata David pada majlis kesyukuran dan sidang media filem Jangan Pandang Belakang 2 yang diadakan di Petaling Jaya semalam.

Sebelum ini, MIG memfailkan tuntutan terhadap Hun Haqeem di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Bagaimanapun mahkamah berkenaan mengetepikan kes tersebut dan mengarahkan MIG membayar baki tunggakan gaji kepada pelakon terbabit.

David kemudian membawa kes berkenaan ke Mahkamah Rayuan dan menarik nafas lega apabila hakim berpihak kepadanya.

Hun Haqeem

Penerbit filem Jangan Tegur itu juga berkeras untuk mengambil tindakan undang-undang kerana Hun Haqeem atau nama sebenarnya Haqeem Hermy meninggalkan MIG ketika pelakon itu sedang mengecap populariti.

Justeru, katan David, syarikatnya kini menanggung beban kerugian besar terutama selepas membuat pelaburan ke atas pelakon terbabit.

Tambahnya lagi, Hun Haqeem menarik diri daripada MIG pada 2021 ketika pelakon itu masih terikat dengan kontrak yang masih berbaki dua tahun lagi.

“Dia keluar MIG dan langgar kontrak selepas 'meletup' (jadi popular).

"Tindakan itu menyebabkan kami mengalami kerugian kerana semua tawaran kerja yang diberikan kepadanya terpaksa dibatalkan.

“Ini termasuk kempen yang memerlukan khidmatnya sebagai duta, ” katanya yang mendakwa pihaknya sudah berusaha mengadakan perbincangan bersama pelakon itu.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Hun Haqeem bagi mendapatkan maklum balas berhubung kenyataan dikeluarkan David.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS