Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pelakon Mawar Rashid menggambarkan kehidupan yang dilaluinya selepas bercerai dengan bekas suami, Raf Yaakob, sejak Nov lalu adalah ibarat gelas kosong.

Kata Mawar, dia melihat dirinya seperti orang baru justeru perlu mencorakkan kehidupan sendiri dengan sebaik mungkin untuk mengekalkan kebahagiaan itu.

“Sekarang adalah fasa baru dalam hidup saya, saya juga lebih gembira.

“Ini adalah diri saya yang baru jadi... semuanya baru, saya malah anggap diri saya seperti gelas kosong,” katanya.

Bagaimanapun, Mawar atau nama penuhnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul enggan berkongsi perihal peribadinya kepada umum kerana enggan menjejaskan emosi anak-anak.

“Saya tidak mahu berkongsi isu peribadi pada umum sebab saya ada anak-anak.

“Nanti mereka besar, akan baca perkara yang tidak sepatutnya,” tambah Mawar.

Dia berkata demikian selepas majlis doa selamat dan sidang media pengumuman filem terbaru lakonannya, Jangan Pandang Belakang 2, di Ibu Pejabat Metrowealth di Petaling Jaya hari ini.

Aktres itu mengesahkan dia bercerai dengan adik kepada chef selebriti Fazley Yaakob itu disebabkan tiada persefahaman lagi.

Untuk rekod, Mawar dan Raf disatukan sebagai suami isteri pada 2017.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Raden Muhammad, 4; Raden Seri Rosabella Cinta, 2; dan Raden Seri Riyanna Sayang, 10 bulan.

Pada masa sama, Mawar, 28, berkata walaupun berdepan beberapa dugaan, keadaan kesihatannya tetap stabil malah tidak lagi mengalami isu serangan panik.

“Alhamdulillah, keadaan saya semakin baik,” katanya.

Mawar memaklumkan, meskipun sudah bercerai, hubungannya dengan bekas suami juga masih dalam keadaan baik.

Cuma, katanya, dia belum terbuka untuk mendekati lelaki lain kerana perlu memberi sepenuh perhatian kepada anak-anak.

“Belum ke arah itu sebab sekarang fokus kepada anak-anak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS