Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengalaman mahal Razzuan Rosli jadi 'orang buta'

Simpati mengenangkan nasib orang kurang upaya (OKU), penyanyi dan pelakon sedang mencipta nama, Razzuan Rosli, mengambil inisiatif melakukan eksperimen sosial bagi mengkaji tahap keprihatinan masyarakat terhadap golongan terbabit.

Bercakap kepada Malaysiakini, Razzuan memberitahu, dia menyamar sebagai OKU penglihatan dan berjalan di sekitar ibu kota untuk melihat reaksi mereka apabila berselisih dan memerlukan bantuan.

“Saya berlakon jadi orang buta sebab terkesan dan berasa kasihan setiap kali melihat golongan terbabit di mana-mana terutama apabila mereka memerlukan bantuan untuk melintas jalan atau cari arah.

“Saya nak tahu bagaimana rasanya apabila tak boleh melihat seperti manusia biasa disebabkan batas penglihatan,” katanya melalui teks pesanan ringkas.

Razzuan juga tidak menyangka menerima reaksi positif orang ramai yang tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan apabila melihat dia memerlukan bantuan.

Bagi penyanyi Akur itu, kemurahan hati dan semangat tolong-menolong ditonjolkan masyarakat satu sikap terpuji walaupun mereka tidak mengenali individu terbabit.

“Saya dibantu oleh pelbagai bangsa. Ini menunjukkan masih ada sifat kasih sayang dan kemanusiaan walaupun berbeza agama.

“Kita hidup atas muka bumi dan diciptakan untuk sentiasa menghormati, mencintai dan membantu antara satu sama lain.

“Kita tak boleh berdiri tanpa adanya pertolongan orang lain malah kejayaan seseorang itu juga mungkin adalah disebabkan doa-doa dan pertolongan orang lain.

"Oleh itu kalau tak dapat bantu dari segi sumbangan cukuplah sekadar berdoa,” katanya.

Sebelum ini, Razzuan, 35, memuat naik rakaman eksperimen sosialnya melalui Instagram yang menunjukkan bagaimana dia disantuni oleh beberapa individu sewaktu meminta arah.

Mengulas lanjut, hasil eksperimen yang mendapat respons positif itu sekali gus mencetus idea untuk pengahasilan video muzik lagu terbarunya, Cinta Kayangan.

“Ia jadi ilham untuk saya ketengahkan mesej kepada umum agar sentiasa bantu-membantu sesama insan lain,” katanya.

Mengenai lagu tersebut, Razzuan berkata, cinta adalah sesuatu yang berharga malah tidak semudah untuk mengekalkan sesuatu hubungan yang dibina.

“Kenapa tajuk lagu ini Cinta Kayangan? Sebab cinta tu sesuatu yang mahal.

“Untuk kita memahami sebuah perkataan cinta itu bukan semudah kita nak faham ABC,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS