Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dakwaan filem dicuri: Fahmi akan berhubung dengan Sarimah
Diterbitkan:  Feb 17, 2024 11:49 AM
Dikemaskini: 3:49 AM

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berjanji untuk meneliti kemelut yang melanda seniwati Sarimah Ahmad berhubung empat filem terbitan syarikat produksinya yang didakwa dicuri individu terkenal.

Menurut Fahmi, Kementerian Komunikasi akan mendapatkan maklumat dan perincian lebih jelas dalam usaha menangani masalah dibangkitkan aktres popular sejak era 1960-an itu.

“Saya akan meneliti perkara ini dan akan berhubung dengan Sarimah untuk mendapat perincian lanjut dalam masa terdekat," katanya.

Pada masa sama Fahmi yang dipetik BH Online memberi bayangan usaha tersebut tidak akan menjadi begitu mudah.

“Memang ada cabaran memandangkan ia sudah lama berlaku dengan ada beberapa perkara dinyatakan secara am.

“Kami mahukan maklumat secara khusus mengenai siapa yang sebenarnya berjumpa aktres itu dan adakah individu berkenaan boleh dihubungi semula," katanya lagi.

Semalam Malaysiakini melaporkan kesedihan Sarimah selepas empat filem yang dihasilkan syarikatnya kini berada di tangan orang lain.

Justeru dia yang mula diperkenalkan kepada umum melalui filem Ali Baba Bujang Lapok berharap filem-filem berkenaan dapat dikembalikan sebelum dia menutup usia.

Sarimah mendakwa pita asal filem Kabus Tengahari, Detik 12 Malam, Dia Ibuku dan Jejak Bertapak "dicuri" kira-kira 36 tahun lalu dan sejak itu individu terbabit terus menghilangkan diri.

Fahmi berkata dia berpendapat seniman dan pengkarya di negara ini bukan saja perlu diberi perhatian berhubung isu kebajikan, malah harus dibimbing dalam aspek literasi perundangan.

Justeru, menurutnya, Kementerian Komunikasi berhasrat mengusahakan beberapa modul atau kelas berkaitan, termasuk dengan membabitkan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan pemahaman penggiat seni pada masa akan datang.

“Ramai yang mungkin menandatangani dokumen ataupun kontrak yang mengikat mereka.

“Sebagai contoh, dalam pertemuan saya dengan komposer, Ross Ariffin, dia juga ada membangkitkan isu berkaitan hak cipta.

“Dalam kes Sarimah, ia membabitkan kontrak dua pihak, jadi saya perlu pemahaman mengenai kes ini.

“Insya-Allah, kami akan cuba lihat apa yang boleh dilakukan untuk membantunya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS