Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Balai Seni Negara kini kian meriah
Diterbitkan:  Feb 17, 2024 10:16 AM
Dikemaskini: 2:16 AM

Kita selalu cemburu apabila pergi ke muzium atau galeri-galeri di luar negara.

Muzium dan galeri di luar negara biasanya dipenuhi pengunjung. Muzium Seni Moden (MoMA) di New York misalnya sentiasa tidak kurang pengunjung.

Hampir setiap masa ada beratus - malah kadangkala beribu - pelawat membanjiri muzium berkenaan.

Begitu juga dengan dengan Galeri Moden Tate (Tate Modern) di London yang sentiasa menjadi lokasi mesti dilawati oleh peminat seni dari seluruh dunia.

Di negara kita hampir semua muzium dan galeri seni milik pemerintah menjadi seolah-olah rumah hantu. Sunyi daripada pelawat.

Yang biasa datang ke muzium dan galeri milik kerajaan biasanya ialah orang yang sama.

Memang terdapat juga lawatan dari sekolah-sekolah namun ia tidak sekerap yang sepatutnya. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa keadaan itu sudah berlarutan sekian lama.

Bukan sekadar peminat tegar

Namun begitu sesuatu yang agak memeranjatkan berlaku apabila Balai Seni Negara di Kuala Lumpur kini mencatatkan jumlah pelawat yang sangat memberangsangkan.

Pada hari-hari bekerja ruang pameran Balai Seni Negara dipenuhi oleh orang ramai, manakala semasa hujung minggu khususnya Sabtu, pelawat yang datang untuk menikmati pameran adalah amat luar biasa ramainya.

Pada Ahad pula pengunjung akan mula membanjiri galeri pameran sejak tengah hari. Pelawat yang datang pula tidak hanya dalam kalangan peminat tegar seni.

Kumpulan dan orang perseorangan berkunjung kini lebih besar kelompoknya.

Terdapat juga kumpulan remaja yang datang beramai-ramai, selain pengunjung yang tiba bersendirian termasuk pelawat yang lebih berusia.

Selain itu pelancong luar negara juga hadir dengan biasanya datang dengan bas rombongan yang disewa khas.

Sofa dan kerusi rehat yang disediakan juga sangat membantu pelawat menghabiskan lebih banyak masa di galeri berkenaan. Mungkin pihak yang bertanggungjawab boleh menambah lagi fasiliti sedemikian.

Papan tanda mengenai kawasan berkenaan juga perlu lebih diperhalusi. Pelawat yang tidak biasa selalunya akan terlepas daripada melawat kawasan konservasi dan kafe di bahagian belakang bangunan galeri berkenaan.

Kakitangan yang bertugas di lantai galeri juga kini lebih terlatih. Pelawat boleh meminta kakitangan yang ada untuk memandu lawatan dan mereka akan dengan senang hati membawa pelawat sambil memberi sedikit penerangan mengenai karya yang dipamerkan.

Ini adalah satu pembaharuan yang sangat disokong.

Untuk yang mahu mengkaji

Menurut Ketua Pengarah Balai Seni Negara Ameruddin Ahmad peningkatan pelawat ini berlaku sebelum pendamik Covid-19 dan berterusan sehingga hari ini.

Menurutnya lagi, pempengaruh media sosial yang sering menjadikan Balai Seni Negara sebagai lokasi penggambaran mereka juga membantu mempromosi karya-karya yang dipamerkan.

Ameruddin juga berterima kasih dan menjemput para pempengaruh media sosial untuk datang dengan idea yang lebih baik bagi menarik lebih ramai pelawat.

Dia juga menerangkan bahawa kerja-kerja mempromosi karya-karya seniman secara komersial kini diserahkan kepada lebih 70 buah galeri swasta yang terdapat di seluruh negara.

Separuh daripada galeri tersebut berpusat di Kuala Lumpur sementara Balai Seni Negara pula kini bertindak sebagai penyimpan maklumat visual milik negara.

Karya-karya yang selama ini disimpan di dalam stor telah dikeluarkan sebagai pameran tetap untuk dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.

Hal ini tentu saja akan memperkaya perbendaharaan visual para pengunjung dan juga mereka yang berminat untuk mengkaji hasil karya anak tempatan.

Namun demikian Balai Seni Negara masih memberi sokongan serta dorongan kepada artis tempat dengan menyediakan ruang untuk mereka mempamerkan karya dan idea terbaru masing-masing.

Ruang yang dikenali sebagai Singles itu disediakan untuk artis yang berminat dan ia ditukar setiap tiga bulan.

Ameruddin berkata Balai Seni Negara turut bercadang untuk mewujudkan sebuah ‘pasar seni’ di ruang belakang bangunan berkenaan.

Di sana nanti para penggiat seni bebas berkarya dan menjual terus hasil kerja tangan masing-masing kepada pengunjung.

Penyanyi yang ‘terkenal dengan lagu-lagu derita percintaan’ Abdullah Jones yang ditemui menyokong idea tersebut.

Abdullah berkata memang seharusnya Balai Seni Negara menyediakan satu platform untuk seniman bertemu terus dengan penggemar seni.

Menurut Abdullah lagi, sementara menunggu ‘pasar seni’ itu siap dibina, Balai Seni Negara boleh juga mengadakan aktiviti yang serupa setiap hujung minggu.

"Ia bukan saja akan mendatangkan pendapatan segera kepada artis malah akan menghidupkan lagi kawasan di sekitar Balai Seni Negara," katanya.

Balai Seni Negara yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dibuka setiap hari dari jam 9 pagi sehingga 5 petang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS