Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Cromok baru tubuh kelab peminat demi konsert maya

Demi memuaskan hati peminat yang tidak berkemampuan, kumpulan legenda thrash metal tempatan, Cromok, mengambil inisiatif menubuhkan kelab peminat bagi merealisasikan konsert secara maya.

Menurut pemain gitarnya, Karl atau Khairul Anuar Shariff, keputusan yang hadir hampir empat dekad selepas band itu ditubuhkan dibuat hasil maklum balas menerusi Instagram Live bersama peminat mereka.

“Kami baru sedar fungsi kelab peminat. Sebelum zaman media sosial berkembang pesat, tugas pengurusan peminat dibuat secara manual oleh band-band lain.

“Kira-kira 70 peratus peminat Cromok terdiri daripada mereka yang berasal dari Kuala Lumpur dan lokasi sekitar manakala selebihnya dari kawasan luar termasuk Sabah dan Sarawak.

“Jadi, konsert secara maya ini bertujuan membantu peminat yang tidak mampu keluarkan modal, misalnya dari segi tambang perjalanan pergi balik, kos penginapan dan perbelanjaan yang mungkin menelan hingga RM500 untuk tonton satu konsert," katanya.

Ditanya mengenai keyakinan terhadap tahap sambutan konsert secara maya itu, Karl menjawab dengan positif.

Katanya, banyak band mahupun artis luar negara pernah mengadakan konsert sedemikian malah mendapat sambutan ramai.

Karl

“Ramai peminat menyatakan kesanggupan mereka untuk membayar harga tiket konsert yang mencecah RM100.

“Jadi saya fikir, kalau BTS (Bangtan Boys dari Korea Selatan) boleh capai hampir 100 juta tontonan untuk konsert atas talian, mungkin kami juga berpotensi besar,” katanya.

Karl berkata demikian pada sidang media pengumuman Clash of the Titans (Metal and Oi! Legends Concert) yang diadakan di Damansara Perdana kelmarin.

Konsert yang bakal meraikan dua ikon muzik underground iaitu Cromok dan A.C.A.B itu dijadual berlangsung pada 9 Mac ini di Zepp Kuala Lumpur.

Cromok bersama A.C.A.B

Untuk rekod, ia merupakan kali pertama Cromok - antara kumpulan thrash metal tempatan yang terawal menempa nama di luar negara - ‘bersatu’ atas satu pentas dengan muzik genre seperti Street Punk.

Bagaimanapun, vokalis Cromok, Shamsudin Ali atau Sam berkata, perancangan itu hanya akan dimulakan selepas konsert mereka bersama kumpulan A.C.A.B berakhir.

Katanya, ketika ini persediaan mereka untuk konsert Clash of the Titans sudah mencapai tahap 80 peratus.

“Tinggal tiga minggu saja dari tarikh konsert, jadi kami tidak mahu ia mengganggu fokus.

“Selepas konsert itu berakhir baru kami akan fikirkan mengenai konsert maya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS