Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Finas teliti cadangan tambah baik Skim Wajib Tayang

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sedang meneliti beberapa cadangan bagi menambah baik Skim Wajib Tayang sebagai usaha meningkatkan kualiti penghasilan filem tempatan.

Ketua pegawai eksekutifnya Azmir Saifuddin Mutalib berkata antara cadangan penambahbaikan itu ialah menerusi suntikan dana dalam pembangunan skrip dan pelan pemasaran.

"... untuk kita labur dalam satu produksi, perkara pertamanya adalah skrip… jadi kami akan uar-uarkan mengenai insentif untuk pembangunan skrip dalam masa terdekat.

"Tentang pemasaran pula, kami akan bekerjasama dengan pelbagai pihak antaranya stesen televisyen dan syarikat swasta mengenai peranan mereka dalam mempromosikan filem tempatan," katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian insentif Tayangan Filem Cereka 2.0 (ITFC 2.0) di Kuala Lumpur semalam.

Azmir Saifuddin berkata Finas juga mengadakan kerjasama dengan pawagam sebagai usaha memajukan lagi industri khususnya langkah menarik penonton ke situ untuk membantu penggiat industri tempatan bersaing dengan pasaran luar.

"Finas akan perhalusi dari segi jadual skim wajib tayang mengenai cadangan pawagam yang mahu memilih beberapa lokasi pawagam tertentu dalam menayangkan filem bukan komersial, yang masih mempunyai peminatnya tersendiri," katanya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meminta agar Finas meneliti dan mengkaji penambahbaikan yang boleh dilakukan terhadap Skim Wajib Tayang bagi meningkatkan kualiti penghasilan filem tempatan.

Dia dilaporkan berkata terdapat sedikit masalah dengan skim sedia ada yang menyebabkan sesetengah pihak mengambil kesempatan menyiapkan filem-filem mereka sekadar cukup syarat.

Sementara itu, Azmir Saifuddin ketika berucap pada majlis berkenaan berkata Finas akan mengumumkan beberapa strategi bagi membawa karya tempatan menembusi pasaran lebih luas.

Katanya antara langkah itu ialah melalui pelbagai kerjasama serantau dalam pembikinan sesebuah naskhah sekali gus mewujudkan pelbagai jenis peluang pekerjaan dalam sektor kreatif negara.

Pada majlis itu dia turut menyampaikan ITFC 2.0 berjumlah lebih RM1.3 juta kepada 20 tajuk filem cereka yang berdaftar di bawah Skim Wajib Tayang menerusi kutipan tiket di pawagam seluruh negara melalui 19 syarikat produksi.

ITFC 2.0 ialah inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Finas dalam memupuk pengeluaran filem tempatan yang kaya budaya, berimpak tinggi serta berkualiti.

"Finas juga berharap lebih banyak kandungan filem bermutu tinggi dapat dihasilkan pada masa akan datang bagi membina ekosistem filem yang dinamik, mempromosikan kepelbagaian budaya seterusnya meningkatkan penglibatan negara dalam industri filem antarabangsa," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS