Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dulu ikuti ceramah Wan Azizah, kini disantuni Anwar

Air mata Dharma Harun Al Rashid tumpah apabila dia dikunjungi wakil tokoh politik yang dikagumi selama ini, Anwar Ibrahim, untuk melihat keadaannya yang mengalami masalah kesihatan akibat serangan angin ahmar ringan.

Pelakon utama filem Adik Manja itu berdepan kesan sampingan daripada insiden pada 2019 berkata dia sangat terkejut kerana Anwar menghantar wakilnya untuk bertanya khabar.

“Saya betul-betul terkejut kerana seorang pemimpin seperti Anwar berkirim salam melalui setiausaha politiknya malah menghantar wakilnya untuk menziarahi saya,” katanya.

Dharma juga dilihat teruja ketika anak bongsunya, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, mula membuka album berisi gambar kenangannya sebelum mengeluarkan sekeping imej yang dirakam bersama Anwar pada 2018 kepada petugas media.

Dharma, 66, berkata sewaktu Anwar masih menjalani tempoh hukuman dalam penjara, dia sering hadir memberi sokongan kepada presiden PKR itu dengan mengikuti ceramah politik Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Jadi, apabila dia (Anwar) masih mengingati serta mengenali saya yang sudah lama tak berlakon, ia satu perasaan yang menghibakan,” katanya.

Dharma berkata demikian selepas program Ziarah Madani di kediamannya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur hari ini. Dia dikunjungi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi.

Selain Syafiq, seorang lagi anak Dharma, Siti Qurratu Aini, 36, juga sedang melanjutkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Mengulas status kesihatannya kini, Dharma yang suatu ketika dulu berbadan kekar itu berkata, kira-kira 10 tahun dia sudah tidak dapat berlakon mahupun mengarah disebabkan masalah yang mengganggu daya ingatannya.

Bantu kembalikan ingatan

Dia yang terkenal sebagai pengarah Adik Manja Returns memberitahu, tubuh badannya juga sudah tidak sekuat dulu untuk bekerja bagi suatu tempoh panjang.

Katanya, dia boleh melaksanakan tugasan berlakon sekiranya ada produksi dan pengarah masih berminat untuk mengambilnya bekerja tetapi menetapkan syarat tertentu.

“Pernah pengarah seperti Yusof Haslam dan Richard Ung menawarkan peluang berlakon namun apakan daya pergerakan serta daya ingatan saya terbatas selepas terkena strok.

“Anak lelaki sayalah yang banyak membantu dari segi menterjemahkan pertuturan ekoran ada kalanya saya sukar mengingat perkataan yang ingin dilontarkan.

“Saya boleh beri komitmen untuk satu hari bekerja saja sebab pinggang sudah tidak kuat lagi, hingga mengehadkan kriteria watak untuk diberikan.

"Malah mungkin saya perlu terima watak yang tidak digemari misalnya lelaki berpangkat Datuk serta kurang berdialog sedangkan saya mahu beri lebih daripada itu,” katanya.

Bagi memperbaiki tahap kesihatannya, Dharma memberitahu dia perlu mengikut nasihat doktor dengan melakukan aktiviti yang boleh membantu menguatkan daya memorinya.

Dia juga meluahkan kerinduan yang tidak terhingga untuk kembali melakukan aktiviti senaman berat di gim namun dia harus berlapang dada disebabkan masalah kesihatannya itu.

Pada masa sama dia mengkui ada banyak yang perlu dilakukan bagi mengembalikan daya ingatannya yang terjejas.

Katanya dia banyak menonton televisyen dan video bagi mengatasi masalah tersebut selain perlu jalani rawatan fisioterapi setiap tiga bulan sekali.

“Gim? Mau tak rindu! Sekarang nak angkat besi pun tangan tidak kuat.

"Gim di bawah (rumah) ini pun ada, cuma dah tak kuat nak buat senaman berat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS