Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Rumah Muzik Pulau Pinang (PHOM) yang merupakan galeri muzik dan muzium interaktif yang terletak di Georgetown akan ditutup selepas tujuh tahun beroperasi.

Menurusi catatan di Facebook, PHOM berkata masalah kewangan dan kurangnya sokongan daripada institusi menjadi punca penutupan galeri berkenaan.

"Dengan berat hati kami mengumumkan bahawa Penang House of Music akan ditutup.

"Sudah lebih tujuh tahun yang indah dan kami bangga dengan hasil usaha ini, tetapi sayangnya, keghairahan sahaja tidak memadai, dan kekurangan sokongan kewangan dan institusi menjadikannya terlalu sukar untuk diteruskan.

"Dalam hari-hari terakhir ini, kami meminta anda bersabar dan mengunjungi kami buat kali terakhir dan membantu kami meraikan warisan muzik kita yang kaya yang patut mendapat tempat dalam sejarah," katanya.

Kenyataan yang disiarkan awal petang semalam bagaimanapun tidak memaklumkan tarikh muzium itu akan ditutup.

Bagaimanapun, menurut laporan The Star, galeri itu mungkin ditutup penghujung Februari ini.

Menurut Buletin Mutiara yang merupakan lidah rasmi kerajaan negeri Pulau Pinang, PHOM merupakan projek unik yang dimulakan oleh kerajaan negeri.

Galeri itu dibuka pada 21 Nov 2016 dan dilaporkan telah menerima purata 10,000 pengunjung setiap tahun termasuk daripada warga asing.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid melahirkan rasa kesal terhadap nasib yang menimpa pusat kebudayaan itu.

Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, dia berkata: "Penutupan itu menandakan kehilangan yang mendalam kepada komuniti muzik dan melambangkan pengakhiran satu era untuk khazanah negara yang memainkan peranan penting dalam mempamerkan warisan muzik Pulau Pinang yang unik dan bertenaga.

"Rumah Muzik Pulau Pinang adalah mercu tanda untuk pemuzik, ahli sejarah dan pencinta muzik, menawarkan gambaran yang jarang berlaku ke dalam jiwa Pulau Pinang melalui melodi, instrumen dan naratifnya.

"Penutupan itu bukan sahaja menandakan kehilangan ruang khusus untuk penghayatan dan pemahaman muzik tetapi juga jurang dalam usaha kolektif untuk mengekalkan sejarah budaya yang pelbagai di Pulau Pinang dan boleh diakses untuk generasi akan datang," katanya.

Syerleena berkata berita penutupan PHOM harus menjadi peringatan tentang rapuhnya usaha pemuliharaan budaya di negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS