ULASAN SENI | Entah mengapa pengalaman selama 1 jam 55 minit menonton filem terbaru Tunku Mona Riza, Rain Town, mengingatkan aku kepada Henrik Johan Ibsen.
Boleh jadi kebanyakan kita mengenali Ibsen sebagai seorang pengarang besar dari Norway yang memiliki status sebagai dramatis yang karyanya paling banyak dipentaskan di seluruh dunia selepas Shakespeare.
Atau mungkin akan lebih ramai lagi yang mengenalinya sebagai seorang bapa drama moden dunia.
Sungguhpun sensasi elemen skandal dan tragik dalam Rain Town yang sedang ditayangkan sekarang sama sekali tidak sekompleks Hedda Gabler, seberani A Doll’s House atau segila An Enemy of The People, ada sekilas nuansa dari karya-karya besar Ibsen yang dapat dirasakan dalam buah tangan Tunku Mona.
Sebagai sebuah filem yang mengangkat drama sebagai genre, Tunku Mona tahu bahawa Rain Town sebagai karya drama sedang memperagakan Taiping sebagai latarnya. Justeru ia perlu membawa suatu gagasan konflik yang bukan hanya penting bahkan utuh.
Keutuhan meletakkan konflik ke dalam persekelilingan watak serta keupayaan menstrukturkan segala kepincangan dalam masyarakat yang mahu dijana filem Tunku Mona itu gerakkan watak Choo Kam Wah.
Memang menarik apabila watak yang secara zahirnya tampak longgar, terlalu banal dan tidak pula menjadi ancaman kepada sesiapa itu sebenarnya adalah sentral kepada segala kehancuran.
Sesebuah filem yang bermazhabkan genre drama seperti Rain Town sememangnya harus bijak memberi roh selain pandai menyeimbangkan fungsi setiap watak yang bermain-main di sekeliling konflik utamanya.
Hal itu dapat dilihat pada watak Ruby, Alex, Aileen dan Isaac yang dijebakkan ke dalam persoalan berkenaan pilihan hidup yang buntu lagi membingungkan.
Kesatuan Rain Town mengorkestrakan jalinan antara konflik utama dengan konflik-konflik sampingan yang diurus dengan baik dalam penceritaan terkawal, diimbangi pula dengan mutu lakonan yang berkesan.
Apakah makna benar
Semua itu memudahkan kelancaran plot menuju klimaks pada hujung penceritaan.
Walaupun Rain Town memperlihatkan sedikit kelemahan semasa mengaitkan Taiping - sebagai pekan terpaling banyak menerima hujan - pada konflik, watak dan keseluruhan visual penceritaan, kekurangan itu diatasi dengan pendekatan penggunaan runut bunyi, serta lagu dengan lirik yang saling mengukuhkan visual.
Harus diketahui dan digarismerahkan oleh lebih ramai pembikin filem di negara ini bahawa sesebuah filem drama yang baik adalah sebuah filem drama yang memiliki sikap.
Selain membicarakan persoalan manusia membuat pilihan, sikap yang dimiliki Rain Town semasa mengangkat isu golongan minoriti yang sangat penting - tapi jarang mahu disorot untuk dibincangkan - adalah sesuatu yang sangat wajar diberi perhatian.
Rain Town bukan sahaja mengajak penonton berfikir tentang siapakah yang paling layak menentukan pilihan seseorang, malah ia juga melontar persoalan tentang apakah itu benar, atau bagaimana jika pilihan itu salah sehingga mengorbankan kehidupan.
Kejahatan yang berlaku boleh jadi datangnya dari sikap manusia yang paling kita sayang.
Pesona Rain Town bukanlah datang dari barisan para pelakon yang maha masyhur dan selebriti super terkenal. 'Magis' filem berbahasa Kantonis itu adalah watak-wataknya yang senantiasa cuba mencari jalan untuk mengatasi konflik yang ada di hadapan mereka.
Ternyata Rain Town tidak mengecewakan. Ia berjaya menyerlahkan pertentangan jiwa antara manusia yang tidak semudahnya untuk diselesaikan dengan kata-kata.
Penulis dan pengarah Rain Town sedar bahawa, jika konflik dalam sesebuah drama dengan sengaja dilewatkan untuk diangkat dalam penceritaan seumpama ini, nescaya ia akan membawa kebinasaan.
Ibsen yang menghasilkan drama agung seperti Brand, Peer Gynt, Ghost dan The Wild Duck gemar membawakan suara minoriti yang resah dan gelisah dengan realiti semasa yang ada di sekelilin.
Pemilihan tema etika dan moral dan kemudian mengaitkannya dengan orang yang dianggap kemuliaan melalui sisi gelap seperti sikap narsisistik Choo membuat aku rindu untuk kembali membaca dan mencuri peluang menonton karya-karya Ibsen.
Rain Town menyedarkan kita bahawa ada ramai sosok seperti Choo dalam kalangan kita. Malah mereka mungkin saja muncul sebagai ketua masyarakat yang lihai memperkuda orang ramai dalam kata-katanya.
Filem Tunku Mona ini mengambil sikap - seandainya kita terus rela diperbodoh atas apa jua alasan tradisi, agama dan budaya, masyarakat pasti perlahan-lahan rosak dan akhirnya hancur.
Demikianlah Ibsen percaya, perlu ada seorang sahaja manusia yang mengabaikan adab, akhlak dan moral pasti untuk menghantar banyak penderitaan kepada masyarakatnya.
Seperti Ibsen menghantar mesej kemanusiaan berupa mutiara kata, Rain Town memberi isyarat bahawa setiap kebaikan pasti akan membuahkan kebahagiaan kepada manusia.
HARIS HAUZAH ialah seorang ayah yang selalu mengecewakan anak-anaknya tapi pada masa sama tetap selalu mahu membahagiakan mereka.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.