Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Osem Han akur hasrat gabung pemuzik 3 negara gagal
Diterbitkan:  Feb 8, 2024 4:16 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Penyanyi dan penulis lirik Singapura, Osem Han terpaksa berlapang dada apabila hasratnya untuk menyatukan pemuzik berbakat dari Malaysia dan Indonesia untuk single terbarunya, Supernova gagal.

Katanya, mereka terpaksa membatalkan perancangan awal itu ekoran komitmen masing-masing sehingga sukar untuk menguruskan jadual bersama.

“Ketika mencipta Supernova, saya bayangkan lagu ini akan dipersembahkan secara berkumpulan, mereka bukan calang-calang hebatnya.

“Kami siap dah bikin video muzik bersama tapi nak buat macam mana, kerana komitmen kami ambil langkah untuk tidak teruskan hasrat tampil berkumpulan.

“Video muzik yang sudahpun siap untuk ditayangkan juga terpaksa disunting semula agar ia bersesuaian dengan konsep persembahan solo,” katanya.

Video muzik Supernova diarahkan oleh Amylea Azizan.

Supernova diciptakan oleh Osem bersama temannya yang juga seorang gitaris, Alif Putra. Ia berkisahkan semangat perjuangan diri untuk tidak mudah berputus asa dalam kehidupan.

Menurut Osem, 39, Supernova begitu istimewa buat dirinya kerana ia sebuah nasihat dan motivasi yang berguna buat semua lapisan masyarakat.

“Seperti makna Supernova iaitu api yang paling panas dan cahaya yang paling terang, api itu adalah semangat dan cahaya itu harapan.

“Dan ia sesuai untuk seluruh lapisan masyarakat. Kerana itu juga terdapat kanak-kanak dalam babak muzik video Supernova.

“Selain motivasi pemberi semangat, sisi lain lagu ini juga ada unsur-unsur persahabatan dan realiti kehidupan masa kini,” katanya.

Tahun lalu, selepas 30 tahun terbabit dalam dunia seni muzik, Osem memberanikan diri tampil dengan single pertamanya berjudul Pilihanku.

Pilihanku dicipta oleh Reyza Hamizan manakala lirik tulisan Osem sendiri.

Karya itu berjaya menembusi carta Radio Ria Singapura dan menduduki tangga kesembilan.

Kata Osem, Pilihanku masih lagi diputarkan di radio-radio Singapura hingga kini.

“Sejujurnya saya sendiri tidak sangka single pertama saya mendapat sambutan yang sangat baik di Singapura tanpa sebarang promosi.

“Dan pada mulanya saya tidak yakin ia mampu menjadi hits dan sambutan yang menggalakkan itu buatkan saya lebih yakin untuk teruskan ciptaan single lagu kedua pula iaitu Supernova,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS