Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'#GengSubuhMacam Jumaat tuntutan agama, tiada kaitan politik'
Diterbitkan:  Feb 7, 2024 10:04 PM
Dikemaskini: 2:04 PM

Penyanyi, pelakon dan pengacara Alif Satar menegaskan gerakan #GengSubuhMacamJumaat yang dimulakannya bukan berdasarkan mana-mana parti politik.

Sebaliknya, kata Alif, objektif utama gerakan itu bertujuan mengajak orang ramai untuk menunaikan dan mengimarahkan solat Subuh secara berjemaah.

“Tak ada orang (mana-mana parti politik) yang boleh claim (tuntut) benda ini pun.

“Ini satu perkara yang saya yakin, masyarakat memang tahu. Itulah keindahannya. Ini tuntutan agama, ” katanya.

Justeru, Alif, 33, tidak kisah apa jua cakap-cakap belakang mengenai gerakan tersebut kerana dia yakin Allah mengetahui niatnya.

“Allah lebih tahu. Janji, saya nak datang solat di masjid saja. Walaupun ada perbezaan pendapat atau latar belakang, benda yang semua orang boleh bersetuju adalah untuk solat Subuh berjemaah di masjid.

“Kita perlu menjaga kesucian itu,” katanya dipetik Harian Metro.

Alif mengulas demikian selepas segelintir pihak mengaitkan #GengSubuhMacamJumaat dengan parti politik tertentu.

Menurut penyanyi Cukup Indah itu, apabila mengadakan program sedemikian, ia bukan saja berpeluang mengajak orang Islam, tetapi orang bukan Islam juga turut berminat untuk hadir.

“Masjid adalah 'pangkalan' untuk masyarakat.

“Jadi, tak kisahlah apa pun sokongan politik anda, semuanya datang ke masjid untuk menunaikan solat Subuh dan bersifat neutral,” katanya.

Menurut Alif, bukan setakat di Malaysia, program itu juga berjaya mendapat perhatian di Dubai baru-baru ini apabila ia dilaksanakan di sana.

Katanya, gerakan itu juga mendapat sokongan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai serta ahli jawatankuasa masjid itu sendiri.

“Di Dubai, saya sempat menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Al Manara dan disertai lebih kurang 40 jemaah dalam kalangan orang Malaysia yang bekerja di sana dan juga orang tempatan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS