Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tekad Naim Daniel nak martabatkan baju Melayu berbanding sut

Penyanyi dan pelakon Naim Daniel bertekad untuk memartabatkan baju Melayu berbanding sut lelaki setiap kali ke hadir ke mana-mana lokasi majlis membabitkan aktiviti mempromosi kerjanya.

Naim - yang dilihat sering memadankan baju Melayu lengkap bersongkok dan bersamping sejak setahun lalu itu - berkata dia sebenarnya mahu mengangkat imej berkenaan agar menjadi kebiasaan buat anak muda.

“Sekurang-kurang, dengan selalu berbaju Melayu saya dapat mewakili anak muda di luar sana yang mahu nenperjuangkan warisan mereka.

“Bukanlah saya nak berkobar-kobar anggap diri sebagai penyelamat bangsa Melayu, tapi sejujurnya saya pakai kerana saya berasa lebih selesa dan ikut cara kita," katanya yang memiliki kira-kira 150 pasang baju Melayu pelbagai warna.

Dia juga mendakwa berasa sedih apabila ada remaja Melayu yang sudah berada di tingkatan tiga masih tidak kenal apa itu tanjak.

Pada masa sama Naim, 26, menafikan dia memakai baju Melayu kerana mahu mempromosi busana itu untuk jenama yang menggunakan namanya menjelang Syawal nanti.

Malah katanya, dia tidak mahu menggayakan baju Melayu mengikut musim tertentu - misalnya hanya pada hari lebaran.

“Saya bukan nak keluarkan koleksi baju raya Naim Daniel. Sebelum ini, ada pihak endorse baju Melayu selepas melihat saya sering menggayakan busana itu setiap kali ke sesuatu majlis,” katanya.

Cerminan di dunia realiti

Naim ditemui pada majlis tayangan drama bersiri terbaru lakonannya berjudul I.D. di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur malam tadi.

Drama siri premium terbaru daripada Astro Originals yang mendapat arahan Razaisyam Rashid itu berkisahkan insiden serta isu-isu seputar media sosial, terutama berkaitan keselamatan data dan jenayah siber.

Siri drama premium terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Alpha47 itu bakal bersiaran pada jam 9 malam 23 Feb ini menerusi Astro Premier dan platform On Demand dan Astro GO.

Selain Naim, pelakon yang turut menjayakan drama ditulis Ashraf Modee Zain itu ialah Amelia Henderson, Aedy Ashraf, Rosyam Nor, Ellyza Azizi, Shantini Venugopal, Joyce Harn dan Jo Kukathas.

Mengulas pembabitannya dalam I.D. Naim berkata, tuntutan menggalas tanggungjawab membawa dua watak sekali gus membuatkan dia berasa ingin menarik diri daripada menerima tawaran terbabit pada awalnya.

Pada masa sama, kata Naim, perasaan itu tidak dapat dielakkan kerana watak Aidi Zabran banyak mencerminkan kehidupan dia dalam realiti.

“Seram nak bawa watak I.D. sebab dalam realiti saya pernah dibuli, rasa tidak diendahkan, tidak mendapat perhatian dalam industri.

“Saya juga pernah jadi pelakon yang menjadi pilihan kedua... jadi apabila bawa watak sebagai Aidi, ia memang menimbulkan perasaan kurang enak.

“Jadi banyak yang saya belajar daripada karakter Aidi, Justeru, watak yang diberikan itu mematangkan saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS