Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Taylor Swift lakar rekod menangi album terbaik Grammy kali ke-4
Diterbitkan:  Feb 5, 2024 4:52 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

Penyanyi terkenal AS, Taylor Swift, melakar sejarah tersendiri apabila memenangi kategori album terbaik pada Anugerah Grammy ke-66 yang berlangsung di Crypto.com Arena, Los Angeles hari ini.

Kejayaan itu menjadikan ia kemenangan keempat buat Taylor dalam kategori tersebut sekali gus mencatat rekod sebagai artis yang paling banyak mengungguli kategori berkenaan.

Dengan kemenangannya itu Taylor berjaya mengatasi pencapaian Frank Sinatra, Stevie Wonder dan Paul Simon. Kesemua mereka pernah memenangi anugerah itu sebanyak tiga kali.

Taylor dalam ucapan kemenangannya turut mengumumkan dia bakal mengeluarkan album terbaru.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat. Saya ingin memberitahu satu rahsia yang disimpan hampir dua tahun lalu iaitu saya bakal lancarkan album baru pada 19 Apr ini.

“Album ini diberi judul Tortured Poets Department. Saya akan muat naik kulit album dalam media sosial sebentar lagi.

"Terima kasih, saya sayang kamu," katanya.

Taylor Swift

Ia merupakan ucapan penerimaan kedua Taylor pada acara yang gilang-gemilang itu. Dia turut dicalonkan dalam lima kategori lain. Melalui Midnights, Swift juga memenangi kategori album vokal pop terbaik.

Miley Cyrus pula akhirnya menamatkan penantian untuk mencipta kejayaan di Anugerah Grammy apabila merangkul dua trofi pada acara itu.

Lagu hits Miley yang berjudul Flowers diiktiraf sebagai rakaman terbaik 2024. Ia juga membawa tuah untuk Miley memenangi kategori persembahan pop solo terbaik.

Miley Cyrus

Sementara itu penyanyi rap dan aktivis sivil, Killer Mike, merangkul tiga daripada hadiah terbesar industri muzik untuk hip hop.

Dia membolot tiga trofi iaitu lagu rap terbaik, persembahan rap terbaik (menerusi Scientists & Engineers) dan album rap terbaik (album Michael).

Dengan kejayaan itu dia menewaskan Drake & 21 Savage bagi album Herman Loss, Metro Boomin (Heroes & Villains), Nas (King's Disease III), dan Travis Scott (Utopia).

Bagaimanapun, kejayaan Killer Mike itu dibayangi dengan penangkapannya selepas dia diiringi polis keluar dari Anugerah Grammy.

Sebuah video yang disiarkan di media sosial oleh The Hollywood Reporter menunjukkan polis Los Angeles mengiringi penyanyi rap terbabit dalam keadaan bergari.

Killer Mike

Billie Eilish pula memenangi kategori lagu terbaik melalui runut bunyi filem Barbie, What Was I Made For yang digubah bersama abangnya, Finneas O'Connell.

Lagu itu juga diangkat sebagai pemenang kategori lagu terbaik digubah untuk media visual.

Penyanyi berusia 55 tahun, Kylie Minogue, memenangi Anugerah Grammy untuk rakaman tarian pop terbaik bagi single hit globalnya Padam Padam.

Billie Eilish

Ia merupakan kategori baru yang dicalonkan kali ini.

Superstar Australia itu memperoleh kemenangan Anugerah Grammy yang kedua dalam kerjayanya dan kali ini ia melalui single daripada album ke-16, berjudul Tension.

Kemenangan itu hadir dua dekad selepas Kylie menggenggam Anugerah Grammy buat kali pertama menerusi Come Into My World.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS