Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Penyanyi senior Noorshila Amin meluahkan perasaan tidak berpuas hati apabila hasratnya untuk mendaftar sebagai ahli sebuah badan kutipan royalti tidak semudah yang disangkakan.

Kata Noorshila, dia diminta menyerahkan pelbagai dokumentasi bagi membuktikan dirinya seorang penyanyi sebelum dibolehkan mendaftar sebagai ahli badan terbabit.

Menurut penyanyi terkenal melalui lagu Aku Sudah Jatuh Cinta dan Rambu Ramba itu, lebih “menghairankan” apabila proses itu tidak pula berlaku ke atas anaknya yang masih baru bertapak dalam industri.

“Saya bukan nak buat cerita, kisah ini berlaku pada anak sendiri.

“Jadi pelik kenapa anak saya dengan mudah diterima jadi ahli malah proses itu dilakukan melalui panggilan telefon saja selepas mereka meminta butiran peribadinya.

“Saya pula kena datang pejabat isi borang serta buktikan ada album, ini yang hairan dan buat saya kecewa, takkanlah tidak kenal Noorshila Amin yang sudah 40 tahun dalam industri hiburan, ambillah inisiatif sedikit,” katanya.

Biarpun tidak mahu menuduh sekiranya wujud pihak memilih bulu, Noorshila, 60, tidak menolak laluan untuk anaknya dipermudahkan kerana dia mempunyai kaitan dengan seorang penyanyi terkenal.

Kata Noorshila, anaknya itu antara pemuzik yang menghasilkan karya terbaru untuk penyanyi terbabit.

“Saya tak tahulah mereka ini memang memilih yang popular saja atau apa, tapi kemasukan anak sebagai ahli menjadi mudah sebab dia antara pemuzik yang menghasilkan single untuk penyanyi itu,” katanya.

Noorshila berkata demikian pada majlis pengumuman Unity Parade Kuala Lumpur 2024 di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Ada rakan artis senasib

Pada masa sama, penyanyi itu berharap badan terbabit memberi sedikit kelonggaran dari segi prosedur buat mana-mana artis yang mempunyai kekangan waktu sekiranya mahu mendaftar sebagai ahli.

Katanya, dia dan ramai lagi artis sememangnya bersedia untuk menjadi ahli pada bila-bila masa cuma waktu tidak mengizinkan bahkan prosedur perlu dilakukan pula begitu rumit.

“Kami sangat terbuka untuk jadi ahli, tapi mungkin ada antara kami mempunyai kekangan masa untuk sediakan semua dokumen yang mungkin juga sudah tidak wujud bagi melayakkan kami mendaftar.

“Saya pun dah lama tak merasa duit royalti sebab tak tahu bagaimana untuk mendapatkannya.

“Kami akan adakan satu sidang media yang tarikhnya akan diumumkan kemudian bagi membincangkan masalah ini dengan artis senasib seperti Zur Eda dan, Siti Fairuz,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Unity Parade, Noorshila berkata, acara menyasarkan 8,000 peserta tersebut bertujuan menyatupadukan pelbagai bangsa dalam satu perarakan yang membawa konsep kebudayaan.

Noorshila yang merangkap Ketua Perhubungan Awam kepada program itu menjelaskan, perarakan sepanjan 3.6 kilometer itu akan memulakan perarakan dari Dataran Merdeka jam 5 petang dan tamat di Lalaport, Bukit Bintang kira-kira 8 malam.

Katanya, acara bakal berlangsung selama dua hari bermula 24 Februari itu juga akan diisi dengan lebih 10 program menarik di samping kehadiran artis yang akan menghiburkan orang ramai yang hadir dengan konsert.

“Kita mahu mengeratkan hubungan sesama bangsa dengan menyatupadukan kaum, serta meningkatkan perasaan cinta kepada budaya berbeza sesama kita.

“inilah yang saya nak fokuskan dalam program Unity Parade nanti, jika orang Melayu datang pakai cheongsam pun kami sangat berbesar hati, jika ada yang pakai baju melayu atau baju kurung itu lagi unik kerana menunjukkan kita mengenali dan menghargai bangsa dan agama masing-masing.

“Selain itu, perarakan ala Citra Warna ini juga sempena meraikan pertabalan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 baru baru ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS