Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zain Saidin bela Liyana Jasmay dari jadi mangsa kecaman muka
Diterbitkan:  Jan 31, 2024 4:44 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Pelakon Zain Saidin tampil membidas pengguna alam maya kerana mengecam wajah aktres Liyana Jasmay tanpa solekan.

Katanya, masyarakat tidak wajar mengutuk seseorang hanya kerana paras rupa mereka yang dianggap tidak menarik.

“Saya nak cakap sesuatu selepas saya jumpa kenyataan di muka buku (Facebook) tadi yang menyatakan Liyana Jasmay mendapat face shaming (kecaman wajah) dan macam mana laki dia boleh suka.

“Saya nak beritahu satu perkara, ini adalah salah. Saya pasti Liyana Jasmay mempunyai suatu tarikan yang membuatkan suaminya jatuh cinta sampai sekarang,” katanya di TikTok.

Tambah suami kepada Rozita Che Wan atau Che Ta itu, tarikan paras rupa indah hanya berlaku pada awal usia perkenalan saja.

Selebihnya, kata Zain, 39, untuk sesuatu hubungan bertahan lama, ia perlu bergantung kepada sikap yang dipamerkan pasangan terbabit.

“Memang rupa adalah tarikan utama pada awal perkenalan. Tapi kena faham, rupa tak akan bertahan selamanya. Begitu juga perkenalan saya dengan Che Ta.

“Yang buat saya terus jatuh cinta pada Che Ta ialah budi bahasa dan isi hati dia yang membuat kita berasa selesa.

“Begitu juga anda, anda tak kenal siapa Liyana Jasmay. Awak tunggulah tua sikit, kita tengok macam mana,” katanya.

Terdahulu, Liyana, 35, dikecam sesetengah pihak kerana memuat naik videonya tanpa solekan di TikTok. Ia dirakan selepas 16 jam dia tidak tidur kerana jadual kerja yang padat lalu menuai perhatian netizen.

Biarpun ramai yang memuji keberanian pelakon itu tampil dengan wajah tanpa menggunakan sebarang penapis (filter), perkongsian itu turut mengundang kecaman segelintir pihak yang lain.

Baru-baru ini, media melaporkan Zain melarang Che Ta, 50, melakukan sebarang rawatan pengubahsuaian muka malah tidak kisah sekiranya isterinya itu kelihatan berkedut kerana faktor usia.

Pada masa sama, Zain berkata, kenyataan yang dibuatnya itu bermaksud dia memberi sokongan hanya kerana mereka sama-sama bergelar artis.

Katanya, Liyana sebelum ini pernah mempersoalkan mengapa Che Ta memilih lelaki lebih muda seperti dirinya untuk dijadikan suami.

“Liyana pun tak suka saya, dan saya tak ambil hati, tapi malah saya back up dia sekarang sebab apa yang netizen cakap salah.

“Hal ini seperti mula-mula berkahwin dengan Che Ta. Ada yang bertanya mengapa pilih Che Ta? Dah tak ada wanita muda lagi kah untuk kahwin?

“Bagi saya (pilih) dia bukan tua, (tapi) sebab saya pandang isi hatinya,” kata Zain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS