Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Judika dapat penghargaan tinggi dari Ahmad Dhani
Diterbitkan:  Jan 30, 2024 8:17 PM
Dikemaskini: 12:17 PM

Nama Judika baru-baru ini mencuri tumpuan selepas pengasas dan vokalis Dewa 19, Ahmad Dhani, membocorkan bukti pemindahan bayaran royalti yang diterima daripada penyanyi itu di media sosial.

Ahmad Dhani mendedahkan bukti kiriman mesej daripada penyanyi Cinta Karena Cinta itu yang mengirim wang berjumlah Rp15 juta (RM4,485) kepadanya untuk tujuan pembayaran royalti.

Pemilik nama penuh Dhani Ahmad Prasetyo itu berkata, dia menyambut baik apa dilakukan Judika kerana penyanyi terbabit menjadi salah satu contoh penghibur yang taat pada undang-undang hak cipta.

“Taat undang-undang hak cipta,” katanya pada hantaran tersebut.

Dalam kiriman mesej berkenaan, Judika memaklumkan dia menyanyikan beberapa lagu ciptaan Ahmad Dhani sewaktu diundang ke sebuah acara.

“Pakde (Ahmad Dhani) 26 bawa dua lagu Pakde, sudah bayar ya, permintaan Garuda (penganjur),” katanya.

Selepas tular dirinya membayar jumlah sebesar itu untuk dua lagu ciptaan Ahmad Dhani, Judika akhirnya tampil menjernihkan suasana.

Kata Judika, 45, berkata pembayaran itu adalah sesuatu yang mesti dilunaskan.

“Ya, kan aku juga pencipta lagu, jadi pasti aku sokong perkara begini untuk semua yang terbaik.

“Kelmarin ulang tahun Garuda, mereka minta aku nyanyikan lagu Mas Dhani.

“Aku jawab, Garuda harus bayar ya,” katanya dipetik media tempatan.

Baru-baru ini Ahmad Dhani memberi kata dua kepada penganjur acara hiburan yang sering menggunakan lagu ahli persatuan itu tanpa kebenaran.

Ahmad Dhani malah memberikan amaran tegas dan tidak teragak-agak untuk melaporkan perkara itu kepada pihak polis.

Bagaimanapun, wang tersebut bukan dibayar daripada dana peribadi Judika sebaliknya Garuda sendiri.

Tindakan Judika yang dilihat tidak keberatan untuk membayar royalti sangat berbeza dengan sikap penyanyi lain sebelum ini yang pernah mempersembahkan karya-karya Ahmad Dhani tanpa lesen.

Ahmad Dhani sebelum ini mendedahkan Judika pernah menerima bayaran sebanyak Rp1.5 bilion (RM449 ribu) untuk satu konsert solo saja.

Tindakan Ahmad Dhani berkongsi hantaran itu seolah-olah mahu memberitahu bahawa program direct licence-nya (bayar royalti terus kepada pencipta lagu) membuahkan hasil.

Ahmad Dhani antara pemuzik yang sedang mencari keadilan untuk hak royalti melalui Aksi yang diterajuinya sebagai pengurus.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS