Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Awie pilih Wings berbanding gerak solo, kesenangan peribadi

Vokalis kumpulan Wings, Awie, tidak sanggup kehilangan sahabat hanya semata-mata kerana dia dianggap bersikap mementingkan diri dengan bergerak secara solo.

Justeru, kata Awie, dia rela menolak semua peluang untuk mengadakan persembahan tanpa melibatkan kumpulan Wings dan selalu memikirkan kebajikan anggota band tersebut.

“Saya sentiasa berfikir panjang mengenai hal ini... kalau ikutkan penting diri sendiri dan nak senang, saya senanglah.

“Tapi saya ada sahabat yang perlu dijaga. Buat apa kita senang seketika tapi hilang sahabat buat selama-lamanya sampai Wings pun berpecah.

“Saya tak mahu perkara ini terjadi pada Wings, jadi saya korbankan dan tolak show solo - kalau ada - meskipun habuannya mahal,” katanya.

Menurut Awie, 55, begitu juga halnya dengan karier lakonan.

Katanya, dia akan mendahulukan projek bersama Wings sekiranya ada tawaran persembahan serentak.

“Kalau fikir diri sendiri seorang macam mana sedangkan ada empat lagi di belakang saya yang nak makan.

“Mereka ada anak isteri yang perlu ditanggung. Mereka memerlukan saya untuk terus hidup.

“Jadi kalau saya asyik fikirkan penggambaran, kawan-kawan saya semua nak makan apa?” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman konsert Wings The Rock Emperor - Penang Chapter di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Konsert itu akan berlangsung di SPICE Arena Pulau Pinang pada jam 9 malam, 24 Feb nanti.

Bagi Awie, dia yakin sikap bertolak-ansur yang diamalkan itu akan membawa rezeki yang berlipat ganda.

“Bukan nak kata kita baik, tapi saya fikir apabila berbuat kebaikan, secara tak langsung Allah akan balas dengan rezeki lain yang lebih,” katanya.

Pada masa sama, Awie menjelaskan, dia juga enggan menerima bayaran sekadar tangkap muat apabila muncul sesuatu tawaran persembahan membabitkan Wings.

Katanya, dia perlu memikirkan kelangsungan jenama dan reputasi Wings dan kerana itu dia perlu menetapkan piawaian harga yang sewajarnya

“Kalau nak bawa band sekali tapi bayaran tak sesuai, hal ini akan rosakkan pasaran Wings.

“Kita tak boleh cekau semua, rosaklah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS