Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Penyanyi sensasi, Baby Shima, berkata dia masih mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa malah menyangkal persepsi gelekannya pada Konsert Milenia 2024 yang berlangsung kelmarin sebagai keterlaluan.

Menurut Baby Shima, aksi yang dipersembahkannya itu masih pada tahap separuh daripada apa yang sering dilakukannya pada acara lain sebelum ini.

“Saya tak goyang sampai 90 darjah pun. Tadi (kelmarin) saya bagi 50 (peratus) saja.

“Kalau buat persembahan dangdut, sudah pasti akan ada gerakan yang perlu disesuaikan dengan konsep lagu,” katanya.

Ditanya mengenai persalinan yang seksi pula, Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli menjelaskan imej itu masih mematuhi kod berpakaian ditetapkan penganjur.

Tambahnya, pakaian singkat rona hitam dipadankan dengan seluar ketat bersama but tinggi yang menutup sebahagian pehanya itu bersesuaian dengan aksi yang akan dipersembahkan.

“Saya rasa baju sentuhan pereka Indonesia, Jessie Gunawan, itu kena dengan corak persembahan di pentas mega ini.

“Saya akur pada permintaan penganjur yang minta jangan menggayakan persalinan mendedahkan selain beberapa syarat tambahan.

“Jadi, mana ada seksi. But panjang itu juga tutup peha saya,” katanya.

Baby Shima berkata demikian ketika ditemui selepas berakhirnya Konsert Milenia 2024 yang berlangsung di Zepp KL pada 27 Jan lalu.

Selain Baby Shima, turut memeriahkan konsert anjuran Mission Sight Sdn Bhd itu ialah Ani Mayuni, Amelina, Mas Idayu, selain disertai penyanyi dangdut dari Indonesia, Hesty Klepek Klepek, Thomas Arya dan Rheyna Morena.

Shima membawakan empat lagu pada malam itu termasuk duet bersama Thomas, Satu Hati Sampai Mati.

Sementara itu, Hesty berkata, pada awalnya timbul perasaan bimbang selepas dimaklumkan mengenai peraturan berpakaian dan persembahan yang dibenarkan.

Bagaimanapun, katanya, sesuatu persembahan dangdut yang bagus tidak semestinya perlu bergantung pada gelekan yang mengghairahkan semata-mata.

“Saya ada perasaan sedikit takut untuk bergoyang lebih malah pakaian pun ditetapkan kena sopan.

“Jadi, mungkin timbul anggapan persembahan saya itu ada kurangnya. Tapi saya serahkan pada peminat untuk menilai dan bergembira dengan nyanyian kami,” katanya.

Rheyna pula berkata, dengan pematuhan pada peraturan ditetapkan, penyanyi Relaku Mengalah itu berharap persepsi negatif pada penganjuran konsert irama dangdut selepas ini dapat ditepis.

Menurutnya, walaupun tidak bergelek lincah, sebagai penyanyi dangdut mereka masih boleh menyesuaikan aksi dengan keadaan semasa.

“Kami hargai konsep di sini yang perlu sopan. Kami tetap boleh berikan yang terbaik. Biar mereka di luar sana tahu dangdut tak seburuk mereka sangkakan.

“Kami boleh saja sesuaikan ikut lagu sama ada perlu bergoyang lebih atau tidak. Kami ambil pendirian terus bersikap profesional saja sekiranya ada arahan ditetapkan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS