Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mizz Nina tuduh Noh Salleh langgar perjanjian lindungi privasi Musa
Diterbitkan:  Jan 28, 2024 4:58 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

Kemelut Mizz Nina dengan Noh Salleh semakin tegang apabila aktivis kemanusiaan itu mendakwa bekas suaminya sebenarnya sedia maklum berhubung larangan sebarang perkongsian membabitkan imej anak mereka, Musa di media sosial.

Kata Mizz Nina, bukan setakat itu, Noh turut mendedahkan nama ibu kandung Musa selepas melanggar perjanjian awal yang dibuat berhubung melindungi privasi kanak-kanak terbabit.

“Bekas suami memuat naik wajah Musa di Internet, sekali gus melanggar perjanjian dan kemudian berkata dia tidak tahu menahu mengenainya sedangkan dia sebenarnya tahu.

“Bermula dari saat itu, privasi Musa terjejas dan kehidupan dia tak akan sama lagi selepas ini.

“Bekas suami kemudian mendedahkan nama ibu kandung sewaktu memohon maaf, ia satu tindakan yang mengatasi tujuan memohon maaf dan dianggap tak sensitif kepada wanita itu yang tak mahu dirinya dikenali,” katanya di Instagram hari ini.

Pada masa sama, Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman mendakwa, Musa diambil tanpa kerelaan serta pengetahuannya ketika kanak-kanak itu tidak berada dengannya.

Menurutnya, untuk tempoh lebih tiga minggu dia tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan Musa mahupun berkomunikasi, menerima gambar atau mengetahui perkembangan kanak-kanak terbabit.

“Saya mengambilnya sebagai anak angkat pada hari kedua dia dilahirkan dan saya menyusukannya. Anak saya dilarikan daripada saya.

“Selama dua tahun Musa tidur di katil yang sama, menjalani rutin harian di kelasnya, rakan-rakannya dan semasa saya berada dalam kapal terbang untuk perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dia dibawa pergi tanpa kebenaran dan pengetahuan saya, sedangkan ketika itu dia berada di bawah jagaan saya dengan dokumentasi undang-undang.

“Anak-anak tak patut dipisahkan daripada penjaga mereka yang sah,” katanya.

Untuk rekod, Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh mendirikan rumah tangga dengan Mizz Nina pada Julai 2011. Pasangan itu rasmi bercerai pada 4 Ogos 2022.

Baru-baru ini, media melaporkan seorang anak selebriti didakwa dilarikan daripada jagaannya oleh seorang pembantu rumah dalam satu kejadian didalangi bekas suami.

Bagi mengelak berlaku konflik, Mizz Nina berkata, dia merujuk mahkamah syariah untuk mengambil Musa melalui perintah mahkamah.

“Alhamdulillah, saya dapat Musa kembali. Dia kembali berada dalam keadaan selesa di rumahnya selepas mengalami trauma kerana diambil dari persekitaran yang menjadi kebiasaannya,” kata Mizz Nina.

Mizz Nina juga mendakwa Noh tidak mempunyai hak penjagaan kerana sebelum ini penyanyi kumpulan Hujan itu telah bersetuju untuk memberikan hak jagaan penuh Musa kepadanya.

Katanya, selepas bercerai, bekas suaminya itu menandatangani persetujuan bersaksikan pesuruhjaya sumpah untuk memberikan hak penjagaan penuh Musa.

“Bermula saat itu, dia hilang hak sebagai penjaga Musa.

“Musa terus menerima kasih sayang penuh dari mama dan babanya meskipun apabila saya berkahwin dengan suami sekarang, Essam. Namun tanpa tanpa pengetahuan saya, dia dilarikan dengan bantuan pengasuh yang mengkhianati saya ketika ketiadaan saya.

“Pendedahan ini bukan bertujuan untuk memanaskan keadaan, sebaliknya untuk berkongsi perkara sebenar agar fitnah dan spekulasi tidak berlaku.

“Ini bukan sekadar kisah saya, tapi juga satu kebenaran. Semoga dengan kuasa Allah, kebenaran terus ditegakkan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS