Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Noh mengaku kongsi gambar Musa tanpa fikir sensitiviti ibu kandung
Diterbitkan:  Jan 27, 2024 12:33 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

Vokalis band Hujan, Noh Salleh mengakui tindakannya memuat naik imej wajah anak angkatnya, Musa dibuat tanpa memikirkan sensitiviti sesiapa.

Katanya, dia berbuat demikian kerana terlalu mengikut perasaan malah mendakwa tidak tahu-menahu tentang sebarang perjanjian oleh ibu kandung Musa berhubung perkongsian wajah kanak-kanak itu di media sosial.

Justeru, menurut Noh, dia memohon maaf atas kekhilafannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan tersebut.

“Saya sebagai manusia biasa pasti ada membuat kesilapan kerana tak memikirkan sensitiviti dia serta terlalu mengikut perasaan rindu dan memuat naik gambar anak saya sama seperti ibu bapa lain di luar sana.

“Saya tak tahu sebarang perjanjian pihak ibu kandung dengan bekas isteri, Mizz Nina di mana kami dilarang memuat naik gambar muka Musa di mana-mana platform.

“Oleh itu, saya, Mohammad Noh Salleh ingin memohon maat secara terbuka kepada ibu kandung Musa, Wan Nuraisyah Athirah Wan Amizulkhidi dan akan turuti tuntutannya untuk tidak memuat naik gambar muka Musa lagi dan akan memadam gambar-gambar yang mengandungi muka Musa di laman sosial saya,” katanya di Instagram malam tadi.

Terdahulu, media melaporkan Athirah menuntut tiga perkara daripada Noh susulan kenyataan yang dibuatnya dalam satu program hiburan baru-baru ini.

Wanita itu menuntut Noh agar menarik balik kenyataan, membuat permohonan maaf secara terbuka dan memadam gambar Musa dari media sosial dalam tempoh 24 jam.

Melalui temu bual yang disiarkan program terbabit, Noh mendakwa Athira memberi kebenaran untuknya menjaga Musa dengan rela hati.

Penyanyi Pagi Yang Gelap itu juga mendakwa tiada langsung unsur penculikan malah sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung Musa untuk menjaga kanak-kanak itu.

Dalam hantaran sama, Noh, 38, menafikan dakwaan Athirah kepada media semalam.

“Mengulas balik kenyataan yang dibuat oleh ibu kandung Musa pada 25 Januari lalu, saya ingin menyatakan bahawa perkara itu adalah tidak benar sama sekali.

“Bagi isu manipulasi pula, perkara tersebut adalah tidak benar. Persetujuan telah pun dicapai dengan pihak ibu kandung untuk memberi penjagaan Musa kepada saya secara sedar dan tanpa paksaan dari mana-mana pihak dan tidak ada mengenakan apa-apa syarat tentang memuat naik gambar muka Musa.

“Akan tetapi saya faham akan kedudukannya sebagai ibu kandung Musa, dia mempunyai hak sepenuhnya ke atas perkembangan anak itu dan saya hormati keputusan tersebut pada waktu ini,” katanya.

Noh berharap segala kemelut dapat diselesaikan dengan baik dan memaklumkan dia mendapat perintah untuk menghadiri proses sulh di Mahkamah Syariah, Shah Alam pada 5 dan 6 Februari ini bagi menyelesaikan isu terbabit.

“Saya berharap dengan penjelasan saya ini dapat menjernihkan keadaan dan saya berdoa agar perkara ini dapat diselesaikan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS