Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Haron Mokhtar si 'kuli seni lukis'
Diterbitkan:  Jan 27, 2024 10:35 AM
Dikemaskini: 10:53 PM

"Kalau orang boleh beli TV besar dengan bayar cash, takkan dia tak boleh beli lukisan dengan cara dan harga sama," kata pelukis terkenal Haron Mokhtar.

Perbincangan mengenai hal merakyatkan seni telah berlaku sejak berabad dulu. Walaupun nampak seperti sia-sia, namun hal tersebut masih terus dilakukan oleh sesetengah pihak.

Sesuatu yang harus diakui ialah kerja seni dan pengagumnya adalah golongan elit. Elit yang dimaksudkan di sini adalah, seni halus itu adalah milik mereka yang mahu mengaguminya.

Tidak sepatutnya mana-mana pihak sekalipun memaksa semua orang untuk memahami dan mencintai hasil seni halus.

Semua pihak ada batas masing-masing dalam menghargai sesuatu karya seni. Menyalahkan orang banyak kerana tidak memahami palitan warna atau bongkah batu yang dianggap sebagai hasil seni adalah kerja yang merugikan.

Duduk perkara seni popular adalah tidak sama dengan seni halus, kerana itu penghasilan dan penghargaan karya-karya seni halus seharusnya ditumpukan hanya kepada kelompok tertentu sahaja.

Orang banyak sukakan karya cantik, maka terlepaslah mereka daripada terjerumus ke dalam dunia yang membincangkan sebuah mangkuk tandas yang terkenal itu patut dianggap sebagai seni atau sekadar momokan kepada seni halus itu sendiri.

Berkelana ke seluruh dunia

Haron adalah seniman karya cantik. Dia sendiri tidak mahu dinobatkan sebagai seniman. Dia menganggap diri hanyalah seorang ‘kuli seni lukis’. Justeru kerjanya adalah melukis.

Dan jika ada yang mahu meraih keuntungan daripadanya, dia dengan senang hati merelakan.

"Kita mesti berkongsi rezeki," katanya.

Pun begitu, di sebalik karya cantik, Haron juga menghasilkan karya-karya yang lebih peribadi. Ia menjadi medan untuk Haron mencurahkan segala apa yang tersimpan di dalam hati.

Ia menjadi satu macam pelarian atau rehat daripada menghasilkan karya popular. Karya-karya tersebut, menurut Haron, lebih mencerminkan keperibadian dia.

Walaupun nampak seperti seorang seniman yang reda dalam ala kadar, Haron sebenarnya seorang pelukis yang telah melangkah jauh.

Pemenang anugerah Bakat Muda Sezaman anjuran Balai Seni Negara itu adalah antara pelukis tanah air yang boleh berbangga apabila hasil karyanya telah dipamerkan di serata pelusuk dunia.

Terbaru, beberapa karya Haron akan dipamerkan pula di Thailand dalam masa terdekat ini.

Karya-karya Haron yang diinspirasikan daripada slogan Dasar Pandang Ke Timur diilhamkan Dr Mahathir Mohamad itu membawa gaya yang disebutnya sebagai “pop art Melayu”.

Haron memilih warna-warna yang manis kerana dia tahu warna-warni sebegitu menjadi daya tarikan yang kuat kepada penggemar seni menghias.

Dia memilih rumah sebagai subjek utama kerana menurutnya, rumah adalah suatu keperluan, selain melambangkan perlindungan.

Enggan jadi pelukis memperdaya

Sementelah pula memang menjadi minatnya sejak dari kanak-kanak untuk melukis bangunan rumah.

Haron menceritakan betapa semasa masih berusia bawah 10 tahun dia saban hari melakar-lakar tanah di hadapan rumahnya untuk menghasilkan imej kediaman keluarganya.

Kesusahan hidup sebagai anak petani juga membuatkan Haron mengenang kembali segala kegiatan yang dilakukannya pada masa lalu. Itulah yang diterjemahkan Haron ke dalam lukisan.

Dia adalah pelukis yang sangat prolifik.

Sesuatu yang menarik mengenai Haron ialah, semua lukisannya dihasilkan hasil daripada kajian di lapangan. Semua rumah atau bangunan yang dilukis adalah rumah yang masih ada.

Bahkan dia sendiri pergi memfoto rumah dan bangunan berkenaan di lokasi.

Menurut Haron, dia mempunyai tanggungjawab untuk mempamerkan kebenaran dalam karyanya. Melukis sebuah rumah yang datang dari imaginasi misalnya, menurut Haron, adalah jalan untuk memperdaya penikmat karyanya.

Dan Haron tidak senang untuk menjadi seorang pelukis yang begitu.

Setiap hari dia akan menghabiskan waktu dari pagi sehingga Maghrib untuk melukis. Waktu malam sebelum tidur pula digunakan sebagai waktu membuat lakaran idea.

Hasilnya Haron tidak menghadapi masalah untuk menghasilkan hampir 400 lukisan pelbagai saiz dalam masa satu tahun.

Karya-karya Haron sentiasa mendapat perhatian peminat seni lukis. Kerana itu tidak menghairankan apabila terdapat seorang pengumpul karya Haron yang memiliki lebih 300 buah hasil dari tangan berbakatnya itu.

Saling tukar pandangan

Seperti kebanyakan pelukis, Haron juga memasang impian untuk memiliki studio dan galeri peribadi. Hasrat itu pernah dikemukakan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga merupakan penggemar karya seni.

Baginda kemudian menyarankan agar Haron membina studio dan galerinya itu di kawasan kampung saja.

Ini kerana, menurut hemat baginda, langkah sebegitu bukan hanya akan memberi manfaat kepada Haron malah tempiasnya akan turut dirasai penduduk setempat.

Hasil daripada beberapa pameran solo dan juga tempahan sektor korporat, akhirnya Galeri Merah Anak Amas itu berjaya dibina di Kampung Simpang Lima, Sungai Besar, Selangor.

Galeri yang mengambil sempena nama ibunya (Amas) itu bukan sahaja menempatkan galeri yang mempamerkan hasil karya Haron malah merupakan kawasan inap desa yang popular.

Semenjak terbinanya galeri dan inap desa milik Haron, kawasan berkenaan menjadi tumpuan peminat seni dari seluruh dunia. Penduduk setempat juga mula memajukan kawasan berdekatan sebagai lokasi tarikan pelancong.

Beberapa buah rumah inap desa yang baru juga tumbuh di situ.

Haron yang terkenal tidak lokek untuk berkongsi pengalaman turut mempelawa mana-mana pelukis datang ke situ untuk saling bertukar pandangan.

Katanya dia dengan senang hati membuka segala rahsia perjalanan jatuh bangun hidup sebagai seorang ‘kuli seni lukis’ dengan mana-mana seniman yang mahu memajukan diri masing-masing.

Keluh-kesah kerana karya tidak terjual atau marahkan orang itu orang ini yang kononnya tidak menghargai kehebatan kerja kita bukan jalan yang dipilih oleh Haron.

"Rezeki semua daripada Tuhan, kita ni kena usaha sikit saja. Yang lain serah pada Dia," kata Haron.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS