Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kurang tawaran tak buat Eizlan terfikir tinggalkan bidang lakonan

Eizlan Yusof tidak berhasrat untuk melupakan terus karier lakonan meskipun jumlah tawaran kerja yang diterimanya turun mendadak sejak tahun lalu dan tidak menunjukkan petanda memberangsangkan sehingga kini.

Menurut pelakon itu, hal berkenaan disedarinya selepas dia aktif berpolitik dan memilih untuk bertanding pada PRU ke-15 walaupun sebenarnya bidang itu sudah diceburinya sejak lama dulu.

“Sebenarnya sudah 20 tahun berada dalam bidang politik cuma tak tampil ke depan, tapi apabila berbuat demikian, saya kena akur pula dengan situasi lain yang timbul seperti kurang dapat tawaran berlakon.

“Sebelum ini saya pernah terima hingga 10 tawaran berlakon dalam tempoh setahun. Tapi selama lapan bulan pada tahun lalu saya langsung tak ada sebarang tawaran.

“Namun, saya langsung tak ada hasrat untuk bersara kerana dunia lakonan adalah sesuatu yang sangat disukai, justeru saya tak mahu mengalah kerana yakin dengan perjuangan depan mata,” katanya kepada Malaysiakini.

Pun begitu, Eizlan atau nama sebenarnya Idris Md Yusof tidak menolak kemungkinan industri hiburan yang bergerak agak perlahan turut menyumbang kepada penurunan jumlah tawaran dan ia turut dialami pelakon lain.

Dia yang pernah membintangi filem Lurah Dendam itu juga tidak menganggap faktor usia menjadi antara punca namanya kurang menjadi perhatian pada mana-mana produksi.

“Selagi diperlukan dan masih relevan, saya akan bersama industri. Kalau bukan sebagai pelakon, saya berharap boleh berikan khidmat sebagai pengarah dan penulis skrip.

“Tapi saya tak percaya kalau faktor usia yang buatkan tiada tawaran, kerana nak diikutkan tempoh setahun itu tak banyak beza pun.

“Sebelum ini, laju (tawaran yang tiba) saja. Tapi disebabkan bertanding dalam PRU itu yang kacau,” katanya.

Eizlan menjadi calon Gabungan Tanah Air (GTA) bertanding dalam PRU ke-15 pada 2022 melalui Pejuang. Bagaimanapun dia yang bertanding di Sabak Bernam tewas kepada calon PN, Kalam Salan.

Pada Jun tahun lalu, Eizlan menyertai PAS atas dasar keyakinan terhadap perjuangan parti di bawah Perikatan Nasional itu.

Bagaimanapun, Eizlan, 52, bersyukur kerana tahun ini peminatnya tetap boleh melepaskan kerinduan mereka melalui tiga filem yang bakal ditayangkan di pawagam nanti.

“Filem itu ialah Kerambit, Padu dan Saka Perawan. Satu lagi karya berjudul Rezza dengan Ahmad Idham mulakan penggambaran minggu ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Eizlan muncul sebagai duta produk jenama Anissa My Batik selain berkolaborasi mengeluarkan kurta untuk edisi Aidilfitri tahun ini.

Katanya, penerimaan rekaan kurta semakin mendapat perhatian dalam kalangan pengguna terutama apabila ia bebas digayakan pada bila-bila masa.

“Saya sudah lama menjadi pengguna tegar Anissa My Batik, alang-alang jadi duta, saya ambil kesempatan keluarkan kurta jenama sendiri pula, iaitu Joe Kurta by Eizlan Yusof.

“Setakat ini, kami mulakan promosi awal di KL East Mall sebanyak 1,200 helai dengan enam koleksi warna bagi melihat sambutan orang ramai.

“Harga asal adalah RM119 dan promosi selama dua minggu kami jual pada harga RM79 boleh didapati di beg kuning TikTok rasmi Anissa My Butik atau secara fizikal di KL East Mall dan Four Season, Kuala Lumpur,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS