Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tak salah mufti minta maaf pada artis, kata mufti
Diterbitkan:  Jan 24, 2024 11:23 AM
Dikemaskini: 3:26 AM

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor menegaskan tindakannya meminta maaf kepada penyanyi Siti Nurhaliza Tarudin adalah sebagai manusia biasa yang tidak maksum.

Justeru katanya, tidak menjadi kesalahan bagi seorang mufti meminta maaf kepada artis atau sesiapa sahaja.

Wan Salim Wan Mohd Noor

“Bagi pandangan orang ramai teguran saya sebagai mufti itu betul dan justeru tidak perlu mohon maaf kepada Siti Nurhaliza. 

“Ramai komen menyatakan saya tak perlu mohon maaf kepada Siti Nurhaliza kerana menegurnya secara terbuka dalam isu mengadakan konsert pada tarikh hampir dengan bulan Ramadan. 

“Namun sebenarnya tak salah mufti minta maaf kepada artis atau siapa sahaja. Ini kerana kita manusia biasa tak maksum,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Terdahulu Wan Salim dilaporkan menegur agar Siti Nurhaliza menunda penganjuran konsert ‘Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza’ yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada Mac depan bagi menghormati kedatangan Ramadan. 

Siti Nurhaliza Tarudin

Dia berkata, sekiranya diteruskan aktiviti itu seolah-olah melalaikan umat Islam daripada mengingati Allah dan bulan mulia dalam Islam. 

Umat Islam di negara ini dijangka mula berpuasa pada 12 Mac.

Wan Salim kemudiannya memohon maaf atas tegurannya itu dan pelbagai pihak tampil menyatakan mufti tidak perlu memohon maaf kerana teguran berkenaan.

Sementara itu Wan Salim berkata pada pandangan manusia mufti lebih baik daripada artis namun di sisi Allah S.W.T mungkin disebaliknya. 

“Pada pandangan manusia, mufti lebih baik daripada artis tapi mana kita tahu di sisi Allah jadi sebaliknya. Jadi tak salah minta maaf.

“Kita tak boleh yakin bahawa apa yang kita kata betul di sisi Allah SWT. Hanya kita fikir betul, tapi hanya berdasarkan pertimbangan ijtihad kita saja yang boleh betul dan boleh salah,” katanya. 

Untuk rekod konsert mega Siti Nurhaliza itu tetap akan dilangsungkan pada 9 Mac ini meskipun selepas teguran agar ia ditangguhkan bagi menghormati kedatangan Ramadan. 

Menegaskan tetap menghormati teguran mufti Pulau Pinang, Siti Nurhaliza berpendapat, konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza itu terpaksa diteruskan kerana penganjurannya bukan berdasarkan kepentingan perniagaan dan keuntungan. 

Katanya Yayasan Nurjiwa selaku penganjur menginsafi pandangan Wan Salim dan berlapang dada menerima teguran tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS