Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shuib tak teragak-agak ambil tindakan jika masih ada memfitnah
Diterbitkan:  Jan 22, 2024 5:33 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

Isu tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membabitkan Bubblebee Sdn Bhd dengan pekerja-pekerjanya selesai selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat, menurut pemilik syarikat itu pelawak Shuib.

Sekiranya terdapat mana-mana pihak terus melempar kenyataan fitnah membabitkan syarikat itu selepas ini, Shuib berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan.

“Saya berharap kenyataan ini menjawab segala tohmahan ke atas syarikat kami sejak beberapa hari yan lalu.

“Saya juga mohon kepada semua pengguna media sosial untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan dan kami akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah,” katanya di Instagram hari ini.

Nama Bubblebee sebelum ini mengundang perhatian umum selepas beberapa pekerja dan bekas pekerja mendakwa syarikat terbabit culas membayar caruman KWSP sejak beberapa bulan lalu.

Susulan itu, Shuib, 39, menjelaskan bayaran dibuat secara sekali gus untuk tempoh beberapa bulan dan bukannya potongan setiap bulan.

Pada hantaran itu, Shuib atau nama sebenarnya Shamira Muhammad turut berkongsi kenyataan rasmi pihaknya berhubung isu tersebut.

Menurut kenyataan dikeluarkan, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan KWSP dan mencapai satu perjanjian penyelesaian yang sempurna di hadapan Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya pada awal Januari lalu.

Katanya, Bubblebee akan mematuhi dan melaksanakan kesemua kewajipan selaras dengan terma-terma penyelesaian yang telah dipersetujui.

“Oleh itu, pihak Bubblebee dengan ini menjelaskan bahawa isu-isu tersebut telah diselesaikan dengan sempurna,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS