Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Arca gergasi Rafiee bikin ramai teruja
Diterbitkan:  Jan 20, 2024 10:25 AM
Dikemaskini: Jan 21, 2024 12:22 AM

Tidak keterlaluan jika dinyatakan bahawa, menjadi Impian semua pelukis untuk mengadakan pameran solo.

Dengan berpameran secara sendirian, seseorang pelukis dapat memperkenalkan karya-karya mereka kepada umum untuk dihargai dan tentu sekali membuka peluang kepada perbincangan yang serius mengenai karya-karya yang dipersembahkan.

Pameran solo biasanya sesuatu yang menakutkan kepada penggiat seni yang mahu serius dalam berkarya. Ia menjadi medan untuk sang pelukis memperkenalkan karya-karya terbaru mereka kepada umum.

Suzlee Ibrahim misalnya berjaya memperlihatkan karya-karya baru dia melalui pameran Isolation yang berlangsung di Galeri Seni UPSI di Tanjong Malim, Perak pada Dis lalu.

Karya-karya yang dipersembahkan juga merupakan kumpulan yang lebih segar berbanding apa yang biasa kita dapat dari tangan pelukis abstrak terkenal tanah air itu.

Dia berjaya lari dari kebosanan yang selama ini dikaitkan dengan karya-karyanya. Syabas diucapkan kepada Suzlee.

Begitu juga dengan Jalaini Abu Hassan yang keluar dengan pameran solo Melekat: Malay Kitsch yang berlangsung di Galeri Puteh baru-bari ini. Dalam pameran tersebut Jalaini juga berjaya membuktikan bahawa dia adalah seniman yang serba boleh.

Sebelum ini Jalaini membuat satu siri Potret Seringgit. Melalui siri itu dia melukis secara langsung subjeknya dan tindakan tersebut sedikit sebanyak mengundang persoalan mengenai mengapa ia dibuat.

Apakah yang mahu dia dapat daripada kerja-kerja tersebut sedangkan Jalaini langsung tidak mempunyai sebab untuk membuktikan kehebatannya dalam berkarya.

Apa yang mungkin boleh diambil ialah siri Potret Seringgit itu juga sebenarnya sebahagian daripada perjalanan Jalaini untuk pameran Melekat: Malay Kitsch.

Atau boleh saja kita katakana bahawa tindakan Jalaini itu adalah kesan kepada suatu desakan popular. Pameran Melekat: Malay Kitsch sebenarnya mengembalikan Jalaini kepada kedudukan yang lebih teguh di persada seni negara setelah beberapa pameran solonya sebelum ini sedikit menimbulkan perbincangan.

Terkaku kerana Covid-19

Syabas juga diucapkan kepada Jalaini atas keberanian membawa sesuatu yang dianggap picisan ke daerah seni.

Dua contoh di atas adalah mengenai mengapa seseorang seniman itu mahu mengadakan pameran solo, yakni untuk memperkenalkan sesuatu yang baru.

Bukan berulang-ulang menghasilkan karya yang sama hanya kerana ia - mengikut kata sebilangan pelukis - merupakan apa yang dikehendaki pasaran.

Seniman yang berulang-ulang menghasilkan karya yang sama dan akur mengikut kehendak pasaran seharusnya menumpukan perhatian mereka kepada penghasilan kraf.

Dan sebenarnya tidak ada kesalahan menghasilkan kraf.

Tahun-tahun Covid-19 yang lalu membuatkan ramai seniman terkaku. Walaupun masih bekerja di studio, karya-karya mereka tidak dapat dipamerkan.

Atau jika mahu, seniman boleh ikut berpameran secara dalam talian.

Budaya membeli apa saja mungkin menjadi subur semasa perintah kawalan pergerakan, bahkan ia kekal hingga ke hari ini. Namun untuk sebuah karya seni didagangkan dengan cara yang sama masih belum mencapai kapasiti yang terbaik.

Peminat lukisan misalnya masih mahu melihat sendiri satu-satu karya sebelum memutuskan untuk memilikinya.

Menyedari hal ini, Rafiee Ghani, seorang pelukis tanah air yang paling eksentrik, telah memulakan sesuatu yang tidak terfikir oleh khalayak. Dia yang terkenal dengan lukisan atas kanvas itu pergi kepada suatu bidang kerja yang boleh dikatakan asing buatnya.

Dia yang selama ini melayan kanvas dengan penuh kelembutan beralih untuk memilih arca kayu sebagai cabaran terbaru dalam penghasilan karya.

Yang lebih mengejutkan ialah saiz kayu yang dipilih Rafiee untuk dijadikan bahan karya.

Sebagai seorang pelukis dia telah mencabar dirinya dengan begitu besar apabila memilih untuk menghasilkan arca yang bersaiz gergasi.

Berjaya membuka mata

Semuanya bermula apabila Rafiee - yang terkenal flamboyant itu - melihat karya-karya arca kayu semasa mengembara. Ilham pertama yang membuahkan hasil untuk pameran itu datang apabila dia ke Hope di Kanada.

Bandar yang terkenal dengan ukiran kayu itu membuatkan Rafiee begitu teruja untuk menghasilkan karya, manakala perjalanan ke Laos pula mengukuhkan lagi minat barunya itu.

"Saya membuat arca kayu untuk mencabar diri, kerana selama ini saya hanya membuat catan," kata Rafiee mengenai alasan dia beralih arah setelah lebih 40 tahun bergelumang dengan cat dan kanvas.

Setelah lebih tiga tahun, dia akhirnya berjaya mempersembahkan sesuatu yang segar melalui pameran Arca Samudera yang sedang berlangsung di Galeri Puteh, Kuala Lumpur.

Walaupun pameran itu masih disertai oleh karya-karya catan, harus diakui bahawa mereka yang datang ke situ lebih tertumpu kepada arca-arca yang dihasilkan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa arca-arca yang dipersembahkan Rafiee membuatkan hampir semua penggemar begitu teruja.

Untuk seseorang yang memang dikenali sebagai ahli catan, Rafiee berjaya membuka mata semua orang bahawa dia bukanlah sekadar one trick pony.

Ketika berada dalam 'zon bahaya' apabila dianggap sebagai pelukis yang hanya menghasilkan karya seragam, Rafiee berjaya memeranjatkan semua orang dengan buah tangan baru yang benar-benar baru.

Pun begitu, arca-arca yang dihasilkan Rafiee masih terikat dengan gaya asli pelukis.

Seperti yang dikatakan artis seni kontemporari terkenal, Che Ahmad Azhar Che Fadzil, "Tengok sekali pun (arca tersebut) kita tahu ini werk Rafiee Ghani."

Sebuah catan yang diberi judul Jalan Samudera dihasilkan Rafiee semasa dia dalam proses menyiapkan arca kayu. Ia memperlihatkan bagaimana pelukis yang terkenal dengan garis-garis beralun itu seolah-olah ‘memotong sambil memahat’ dan tidak lagi sekadar membiarkan berus menari lembut di atas kanvas seperti sebelumnya.

Mungkin setelah ini Rafiee akan kembali menghasilkan siri catan yang baru. Jalan Samudera menjadi laluan baru untuk siri-siri mendatang.

Syabbas Rafiee sahab, syabbas!!

Pameran Arca Samudera sedang berlangsung di Galeri Puteh, Eco Mall, Kuala Lumpur sehingga 27 Januari 2024.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS