Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Suria FM dakwa Tyzo sengaja nak jatuhkan DJ Lin

Pengerusi Star Media Radio Group Bhd (SMRG) menyifatkan tindakan Tyzo menularkan rakaman suasana hari terakhir dia di konti seolah-olah bermotif mahu menjatuhkan reputasi Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin.

Mohd Aminuddin Mohd Rouse berkata, SMRG kesal apabila kesan daripada tindakan Tyzo, DJ Lin menerima kecaman hebat khususnya disebabkan kata-kata diselitkan juruhebah tersebut pada penghujung video berkenaan.

“Saya cadangkan tarikh akhir Tyzo bersiaran ialah pada 12 Jan lalu dan saya minta dia buat rakaman akhir, namun dia maklumkan tidak akan berbuat demikian kerana dia seorang yang profesional.

“Namun apa yang berlaku, Tyzo tak rakam sebaliknya buat siaran langsung dan minta salah seorang pekerja mengambil video.

“Ketika DJ Lin sampaikan ucapan terima kasih, Tyzo pula berkata: terima kasih atas penganiayaan ini," katanya.

Menurut Mohd Aminuddin selepas video berkenaan tular, ramai yang bersimpati kepada Tyzo tetapi sebaliknya DJ Lin dikecam dan digesa supaya meletak jawatan.

Malah dakwanya anak-anak DJ Lin turut terkena tempias kemarahan orang ramai.

"Akibat ini semua siapa sebenarnya jadi mangsa? Kredibiliti DJ Lin menurun dan reputasinya menjunam. Ini mungkin tujuan (Tyzo) menjatuhkan DJ Lin” katanya pada sidang media Ruang Udara Suria di Menara Suria Damansara hari ini.

Tambah Mohd Aminuddin, kontrak Tyzo tidak dilanjutkan selepas pihaknya membuat keputusan secara menyeluruh termasuk mengambil kira kehendak bekas penyampai radio itu sendiri.

Justeru, katanya, DJ Lin bukanlah individu yang bertanggungjawab dalam penamatan kontrak Tyzo.

Sebaliknya kata Mohd Aminuddin keputusan muktamad berkenaan status Tyzo datang daripada dia dan dibuat semata-mata bersandarkan aspek perniagaan.

Dakwanya, selepas terpilih sebagai penyampai radio popular Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) tahun lalu Tyzo meletakkan syarat mahu memanjangkan kontraknya hanya selama enam bulan.

“Kontrak Tyzo berakhir pada Okt tahun lalu dan melalui perbincangan pada Ogos, kami menawarkan kontrak selama setahun tapi Tyzo hanya mahu sambung selama enam bulan saja.

“Jadi selepas saya mengkaji semua aspek serta bertanya kepada bahagian sumber manusia serta bahagian jualan, saya buat kesimpulan Tyzo tak berminat untuk teruskan tugasnya sebagai penyampai radio Suria FM.

“Kemenangan pada ABP35 tak membantu menaikkan rating Suria FM pun. Jadi saya berpendapat kami mesti rombak semula Suria FM. Ini keputusan dan tanggungjawab saya,” katanya

Suria FM mengumumkan khidmat Tyzo sebagai penyampai Suria Petang stesen itu berakhir secara rasmi pada 12 Jan lalu.

Mohd Aminuddin berkata, memandangkan Suria FM bakal tampil dengan barisan penyampai baru mulai Isnin ini, Tyzo juga direhatkan daripada bersiaran bersama Sharifah Shahira atau lebih dikenali sebagai Kak Rara.

Pada sidang media sama, Mohd Aminuddin menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan memburukkan Suria FM selepas ini.

Dia malah berkata tidak mahu menunggu sebarang permohonan maaf daripada Tyzo memandangkan situasi tidak dijangka itu sukar diperbaiki lagi.

“Setakat ini pihak kami tak rancang ambil tindakan undang-undang terhadap Tyzo, tapi selepas ini sesiapa saja yang buat kenyataan (negatif), kami akan pertimbangkan untuk ambil tindakan lanjut.

“Saya juga tak tunggu permohonan maaf daripada dia. Tahap sekarang, susah nak diperbaiki," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS