Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Konsert pun boleh ada solat hajat, doa diaminkan 9,000 penonton - Awie

Awie berpendapat tidak ada salahnya jika seseorang artis meneruskan konsert mereka meskipun menjelang Ramadan jika ia turut diiringi dengan amalan yang bermanfaat.

Menguatkan hujahnya, vokalis Wings itu memberi contoh bagaimana kira-kira 9,000 penonton Konsert Wings The Rock Emperor – Kuala Lumpur Chapter pada 16 Dis tahun lalu bersama-sama mengaminkan doa untuk Palestin dan ia menjadi “saksi” pembuka persembahannya ketika itu.

“Sewaktu di Shah Alam, kami ada segmen Tribute to Palestine. Saya baca selawat dan berdoa di atas pentas, kemudian ia diaminkan 9,000 penonton.

“Bagi saya itu satu kejayaan besar... dengan jumlah kehadiran seramai itu terutama yang mengaminkan doa untuk Palestin pada satu-satu masa. Syukur alhamdulillah.

“Sebelum adakan persembahan itu juga kami adakan solat hajat. Bukannya bercerita nak atau nak tunjuk kebaikan, tapi kalau tak bercerita, orang tak tahu,” katanya.

Tetap menghormati kemuliaan Ramadan, Awie, 55, berkata meneruskan kelangsungan hidup juga menjadi matlamat utama dia dan anggota bandnya.

Justeru penyanyi Bernafas Dalam Lumpur itu berpendapat sukar untuk seseorang artis membatalkan atau menangguhkan konsert yang sudah dirancang berbulan-bulan lebih awal khususnya apabila memikirkan tanggungjawab yang harus dilunaskan.

Katanya setiap orang ada tanggungjawab masing-masing.

"Jadi, jangan suruh kami berhenti (tunda konsert) atau halang tanggungjawab kami.

“Kami pun takut dosa. Tapi ini adalah pekerjaan kami. Seni itu perjuangan.

“Kebetulan pula kita mampu menghasilkan seni dan mencari rezeki melaluinya. Allah yang tentukan, jadi kenapa kami harus hentikan kerja ini?” katanya.

Awie berkata demikian pada sidang media pengumuman Konsert Wings The Rock Emperor - Penang Chapter di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Awie, Eddie (bass), Black (drum), Sham (gitar) dan Edrie (gitar) akan menggegarkan konsert itu yang akan berlangsung di Spice Arena Penang, Pulau Pinang pada jam 9 malam, 24 Feb nanti.

Sebelum itu Awie diminta mengulas nasihat agamawan kepada Siti Nurhaliza agar menangguhkan konsertnya pada satu tarikh yang lain demi menghormati kedatangan Ramadan yang dijangka bermula pada 12 Mac ini.

Konsert Wings itu juga akan diadakan pada tarikh yang hampir dengan Ramadan.

Mufti Pulau Pinang, Wang Salim Wan Mohd Noor dalam satu kenyataan berkata, sekiranya acara itu tetap diteruskan, ia seolah-olah melalaikan umat Islam dan bulan mulia dalam Islam.

Siti Nurhaliza dan pengasas Yayasan Nurjiwa yang juga suaminya, Khalid Mohamed Jiwa berkata, konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza itu terpaksa diteruskan kerana penganjurannya bukan berdasarkan kepentingan perniagaan dan keuntungan.

Katanya, konsert itu bertujuan mengutip dana bagi menampung lima kluster kerja seperti kebajikan, kemanusiaan, keagamaan, pendidikan dan bantuan khas Palestin.

Selain itu, Siti Nurhaliza turut mengambil kira faktor lain yang menyukarkannya untuk menunda acara tersebut ke suatu tarikh yang lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS