Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Siti Nurhaliza teruskan konsert mega demi Palestin

Konsert mega Siti Nurhaliza tetap akan dilangsungkan pada 9 Mac ini meskipun terdapat agamawan menggesa agar ia ditangguhkan bagi menghormati kedatangan Ramadan.

Menegaskan tetap menghormati teguran Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor, Siti Nurhaliza berpendapat, konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza itu terpaksa diteruskan kerana penganjurannya bukan berdasarkan kepentingan perniagaan dan keuntungan.

Katanya Yayasan Nurjiwa selaku penganjur menginsafi pandangan Wan Salim dan berlapang dada menerima teguran tersebut.

“Objektif utama penganjuran konsert membuatkan kami mencapai keputusan secara konsesus untuk meneruskannya.

“Yayasan Nurjiwa ialah badan amal yang ditubuhkan sejak 2006. Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza adalah untuk mengutip dana bagi menampung lima kluster kerja seperti kebajikan, kemanusiaan, keagamaan, pendidikan dan bantuan khas Palestin,” katanya dalam kenyataan bersama suami yang juga pengasas Yayasan Nurjiwa, Khalid Mohamad Jiwa hari ini.

Menurut penyanyi Kesilapanku, Keegoanmu itu berkata, memang menjadi keutamaan Yayasan Nurjiwa meneruskan kerja-kerja kebajikan yang sudah mereka jalankan selama ini.

Malah kata Siti Nurhaliza, semua hasil kutipan tiket daripada konsert berkenaan akan disalurkan sepenuhnya kepada lima kluster terbabit.

Selain itu kata Siti Nurhaliza pihaknya juga perlu mengambil kira beberapa faktor seperti lokasi dan kesukaran mendapatkan tarikh tempahan lain sekiranya acara itu ditunda.

“Kami di Yayasan Nurjiwa diberitahu oleh Perbadanan Stadium Nasional bahawa 9 Mac saja tarikh kosong yang ada untuk sepanjang 2024 yang boleh ditawarkan kepada kami.

“Untuk pengetahuan semua, kami sudah mula membuat tempahan dengan Perbadanan Stadium Nasional sejak awal 2023 lagi, namun tarikh yang sepatutnya tak dapat kami laksanakan dan mohon penangguhan dengan mendapatkan tarikh baru,” katanya.

Kurangkan derita golongan memerlukan

Terdahulu, Wan Salim dalam kenyataannya menasihatkan agar Siti Nurhaliza menunda konsert tersebut bagi menghormati kedatangan Ramadan.

Wan Salim berkata, sekiranya diteruskan aktiviti itu seolah-olah melalaikan umat Islam daripada mengingati Allah dan bulan mulia dalam Islam.

Umat Islam di negara ini dijangka mula berpuasa pada 12 Mac.

Siti Nurhaliza berkata, pihaknya gusar sekiranya penundaan dibuat, maka dana yang sepatutnya disalurkan akan terganggu dan menjejaskan penerima terutamanya mangsa perang di Palestin.

Katanya, penganjuran konsert itu jelas untuk berkongsi rezeki dan diyakini dapat mengurangkan beban penderitaan golongan terbabit.

“Pada masa sama, Yayasan Nurjiwa akan meneruskan kerja-kerja kebajikan lain seperti setiap kali kehadiran Ramadan dan Syawal dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Inilah matlamat yang kami ingin lakukan memandangkan selepas konsert, Ramadan dan Syawal adalah bulan aktif bagi aktiviti amal yang telah kami lakukan sebelum ini.

“Komitmen kami kepada mangsa-mangsa perang di Palestin perlu diteruskan sejak kami memulakannya pada Okt lalu. Terlewat sehari dua saja boleh mengundang malapetaka lain buat mereka,” katanya yang turut menganjurkan program sedekah Nur Muhammad untuk golongan tempatan seperti asnaf dan kurang berkemampuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS