Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Latih bakat baru jadi pelakon berkualiti jadi 'jihad' Baldev

Berbeza dengan segelintir penerbit mahupun pengarah, S Baldev Singh mengakui dia lebih selesa merekrut pendatang baru dalam industri meskipun filem-filem arahannya mungkin tidak akan mendapat sambutan.

Menyifatkan pengorbanan itu sebagai suatu “jihad” Baldev berkata dia ingin memberi sesuatu kepada masyarakat sebelum menutup usianya pada satu hari nanti.

“Saya nak tinggalkan sesuatu pada masyarakat. Siapa tahu esok, lusa saya mungkin sudah tiada. Jadi, saya nak tinggalkan dunia ini dengan penuh senyuman.

“Jihad tak semestinya pergi berperang, inilah jihad cara saya.

"Saya harap apa saya lakukan ini lebih baik daripada membiarkan mana-mana bakat yang tak dicungkil bekerja entah apa-apa di luar sana,” katanya yang terkenal dengan filem Rasuk dan Kecoh Betul.

Menurut Baldev, 61, bukanlah sesuatu yang sukar untuk melatih pelakon baru, malah jika dibuat kena dengan caranya, ia pasti mendatangkan hasil yang ‘lumayan.’

Ujarnya, ia boleh dilihat daripada beberapa nama pelakon yang kini sudah mencipta populariti tersendiri.

“Mungkin ramai tak tahu antara pelakon yang saya pernah kenalkan suatu ketika dulu ialah Nabila Huda dan Adi Putra. Hari ini kedua-dua mereka sudah berjaya.

“Tengok juga pada nama Sophia Albarakbah, dulu dia hanya bermula sebagai pelakon tambahan saja. Kini ramai peminat drama Melayu mengenali nama itu.

“Tugas saya adalah untuk melatih, selebihnya Ilahi yang tentukan," katanya lagi.

Baldev turut menjelaskan langkah yang sama diambilnya semasa menyiapkan Jiwa 8 Belas. Melalui filem itu, katanya, kira-kira 30 orang karyawan berjaya lahirkan.

Bagaimanapun, katanya, tawaran mengasah bakat lakonan itu hanya akan diberikan kepada individu yang belum pernah menjejakkan kaki dalam dunia lakonan.

Baldev berkata demikian selepas selesai malam tayangan perdana filem Jiwa 8 Belas arahannya di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Jiwa 8 Belas yang mula ditayangkan hari ini menampilkan barisan pelakon seperti Ikhram Juhari (Edd), Kanda Khairul (Kanda), Akim Nordin (Kucai), Faha Azhar (Botak), A Galak (Kudin), Fauziah Nawi (emak) dan Jalaluddin Hassan (Atok Li).

Karya itu berkisahkan sepasang kekasih melalui pengalaman pahit apabila diculik oleh sekumpulan samseng yang memperdagangkan wanita ke Thailand.

Mengenai perancangan sekuel Jiwa 8 Belas, Baldev berkata, pihaknya sedia menghasilkan karya susulan sekiranya filem itu mendapat maklum balas positif penonton.

“Kami sudah buat yang terbaik dan barisan pelakon beri komitmen terbaik merealisasikan filem ini.

“Selebihnya, saya serah kepada penonton untuk menilai, dan juga pada Tuhan. Kalau ada bajet, bila-bila masa pun kami boleh mulakan projek sekuel filem ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS