Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pesan Ikhwan buat Tyzo: Diberi 'tahi' kita tetap beri bunga

Bekas penyampai radio, Ikhwan Rosli, tidak menolak kemungkinan ‘politik pejabat’ menjadi penyebab berakhirnya karier seseorang penyampai di sesebuah stesen lebih cepat daripada sepatutnya.

Walaupun konflik itu boleh berlaku dalam mana-mana organisasi, kata Ikhwan, penyampai radio yang ditamatkan kontrak perlulah lebih terbuka apabila bekerja di sesebuah stesen penyiaran.

“Mana-mana tempat pun ada 'politik' masing-masing, saya dah berkhidmat di sebuah stesen radio selama 12 tahun dan ia satu jangka masa yang lama.

“Memang sebenarnya tak mudah untuk dihadapi, tapi bagi saya kita kena chill (tenang) saja sebab konsepnya: kalau orang beri tahi, kita tetap beri bunga,” katanya.

Jelas Ikhwan lagi, seseorang penyampai radio juga mempunyai riwayat sendiri di setiap stesen radio yang disertai, justeru mereka juga perlu memahami cara organisasi itu beroperasi.

Selain itu, tambahnya, mereka juga wajar mempunyai perancangan yang lebih baik sekiranya ingin terus kekal relevan dalam bidang itu.

“Mungkin ada yang sensitif apabila saya cakap begini tapi sesiapa yang pernah terlibat dunia penyiaran tahu mana pro dan con, atau tahu cara.

“Kadang-kadang sebagai penyampai, apabila kita sudah terlalu lama dalam bidang itu, kita boleh faham ia adalah senario yang kita akan dilalui.

“Namun, pada masa sama mungkin ada masalah lain yang jadi punca (penamatan kontrak), jadi ini semua bergantung pada stesen radio itu,” katanya.

Doakan yang baik-baik

Ikhwan berkongsi pandangan itu ketika ditemui pada sidang media Tonton Original: SeOfis di Worq KL Sentral, Kuala Lumpur hari ini.

Dia tampil dalam siri yang menyaksikan pertembungan tiga personaliti wanita berkerjaya pada usia 30-an yang akhirnya membentuk ikatan persahabatan bagi mengharungi suka duka, cita-cita dan cinta di ibu kota.

Drama bersiri 12 episod arahan Faizul Jais itu boleh distrim di platform penstriman Tonton mulai esok.

Selain Ikhwan, SeOfis turut dijayakan Siti Saleha, Nadiya Nisaa, Nadia Aqilah, Fahrin Ahmad, Hafizul Kamal, Munir Kharuddin, Akmal Azwar, Syahir Shafien, Anas Ridzuan, Malia, Kimberly Chuah, Aeril Izz dan Hafidzuddin Fazil.

Sebelum ini isu penamatan kontrak Tyzo di stesen radio Suria FM pada 12 Jan lalu menyaksikan ramai netizen meluahkan rasa kecewa di media sosial.

Tindakan pengurusan Suria FM mengambil tindakan itu dipertikai sesetengah kerana Tyzo - atau nama sebenarnya Tuah Zulqarnain - merupakan pemenang anugerah penyampai radio paling popular pada tahun lalu.

Nama DJ Lin pula tidak semena-mena terkena tempias dalam isu tersebut.

Susulan itu, satu sidang media khas akan diadakan oleh pihak Suria FM pada 19 Jan ini bagi menjelaskan isu yang sedang hangat diperkatakan itu.

Mengulas nasib dialami Tyzo, Ikhwan berkata, bekas penyampai radio Suria FM itu wajar melihatnya dari sudut positif.

Nasib dilalui Tyzo itu, kata Ikhwan, secara tidak langsung sebenarnya membuka peluang dan ruang lebih baik kerana bakat penyampai itu akan lebih diterima dan dikenali ramai.

“Nasib kita macam pemain bola sepak akan sering bertukar-tukar.

“Kita tak tahu apa alasannya (ditamatkan perkhidmatan) mungkin juga kerana politik (pejabat) atau ada masalah lain kita tak nampak.

“Doa saja yang baik-baik untuk dia. Apa yang terjadi ada hikmahnya.

"Nama dia sekarang disebut-sebut, orang lebih mengenali dia, yang tak minat pun jadi minat, jadi kena lihat dari sudut lain.

"Mungkin Allah nak bagi rezeki lebih baik,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS