Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mentega Terbang: K'jaan tutup kebebasan berkarya - NGO

Kumpulan masyarakat sivil membidas tindakan undang-undang yang diambil kerajaan terhadap pengarah dan penerbit filem kontroversi, Mentega Terbang yang diharamkan di Malaysia.

Ia selepas pengarah Khairi Anwar Jailani dan penerbit Tan Meng Kheng dikehendaki untuk hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok untuk dihadapkan dengan pendakwaan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan atas kesalahan "melukakan perasaan agama orang lain".

Seksyen 298 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Khairi dan Tan juga disiasat polis berhubung filem itu pada tahun lalu.

Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Wathshlah G Naidu menyifatkannya sebagai usaha kerajaan untuk menutup kebebasan dalam seni.

Wathshlah mempersoalkan jika tindakan mendakwa mereka selari dengan piawaian antarabangsa berkenaan keperluan dan keabsahan dalam membataskan atau menyekat kebebasan bersuara.

"Pertuduhan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan menunjukkan bagaimana nilai yang terkebelakang dan arbitrari mengatasi kebebasan artistik yang sejagat - yang penting terhadap kemampuan kita untuk berekspresi dengan bebas," katanya kepada Malaysiakini.

Sedutan filem Mentega Terbang

Dia juga menyifatkan kerajaan dan pihak berkenaan telah mengetepikan kepelbagaian pandangan dalam masyarakat, sebaliknya berpihak kepada keseragaman pendapat dalam isu tersebut.

"Langkah membenarkan khalayak umum berbincang dan membuat keputusan, menerusi perbahasan yang sihat, berkenaan jenis kandungan yang sesuai dengan mereka dan nilai yang dipegang untuk membuat keputusan berdasarkan pengetahuan, amat penting bagi masyarakat yang berfikir dan demokratik," katanya.

Dia juga berkata kepentingan awam perlu diutamakan berbanding kewajaran politik.

Terdahulu, Khairi dipetik FMT mengecam tindakan undang-undang tersebut dan menyuarakan kebimbangan ia akan menyebabkan lebih ramai pengkarya tidak lagi menghasilkan karya mereka kerana takut didakwa.

‘Boleh setuju untuk tidak bersetuju’

Sementara itu, pengasas Beyond Borders Mahi Ramakrishnan juga menyifatkan pendakwaan jenayah itu sebagai "mengarut dan bersifat sewenang-wenangnya".

"Setiap hasil seni adalah subjektif di mata khalayaknya. Ramai yang menghargai Mentega Terbang, sementara ada juga yang tidak.

"Tiada hasil seni yang boleh memuaskan hati semua orang. Namun ia menawarkan perspektif berbeza. Dan kita sebagai penonton sentiasa boleh setuju untuk tidak bersetuju tanpa perlu mengharamkannya atau mendakwa pembikinnya.

"Itu bukan cara kebebasan diamalkan," katanya yang juga aktivis dan pembikin filem. Dia menggesa orang ramai untuk menunjukkan sokongan kepada pembikin, pelakon dan kru Mentega Terbang.

"Jika ini boleh menimpa mereka, kebebasan sivil kita juga boleh dicabul atas sebarang sebab yang dirasakan wajar oleh kerajaan," katanya lagi.

Mentega Terbang mengisahkan remaja berusia 15 tahun, Aishah yang bergelut dengan persoalan kehidupan selepas mati dalam pelbagai agama - seperti konsep kelahiran semula - setelah ibunya didiagnos menghidap penyakit kritikal.

Ia ditayangkan pada 2021 dan turut disiarkan di platform Viu, sebelum mengundang perhatian dan kontroversi kira-kira dua tahun kemudian.

Antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang menyifatkannya sebagai bertentangan dengan Islam dan cara hidup orang Islam di Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri mewartakan perintah larangan bagi penayangan filem itu pada September lalu. Khairi dan syarikat produksi Meng Kheng Entertainment kemudian mencabarnya di mahkamah.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS