Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aman Graseka dapat tawaran berlakon lepas tular minta sumbangan

"Aman, bangkitlah... tak perlu minta bantuan sesiapa,” demikian pesanan dititipkan pengarah S Baldev Singh buat Aman Graseka yang dispekulasi sedang mengalami kesukaran hidup.

Baldev yang juga penerbit itu berkata dia percaya Aman wajar diberikan peluang untuk membetulkan kehidupan walau apa pun situasi sedang menghimpit pelakon terbabit ketika ini.

“Saya memang nak bantu Aman. Saya juga sudah menghubunginya sebaik tahu berita yang tular tapi tak berjaya. Entah apa masalah sedang dia hadapinya sekarang.

“Saya ingin bantu agar dia dapat cari wang dan boleh bekerja sekiranya dia benar-benar susah.

“Jadi, tak kisah di mana jua dia berada, saya boleh minta bantuan kawan-kawan yang berada di kawasan dia menetap untuk tawarkan peluang berlakon,” katanya.

Baldev, 61, berkata dia dan Aman pernah bekerjasama untuk projek filem Jiwa 8 Belas pada 2020, dan menganggap pelakon terbabit mempunyai etika kerja yang baik.

“Dia seorang pelakon yang sangat komited dengan kerja,” tambah Baldev.

Tak ada hutang apa-apa

Baldev berkata demikian selepas selesai majlis tayangan perdana filem terbaru arahannya, Jiwa 8 Belas, di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur malam tadi.

Selain Aman, filem itu turut dijayakan Sophia Albarakbah, A Galak, Jalaluddin Hassan, Fauziah Nawi, Zila Bakarin, Shah Hazvee,Ikhram Juhari, Kanda Khairul, Akim Nordin, Faha Azhar, Arif Mex dan Acap S.

Namun, kelibat Aman tidak kelihatan walaupun penerbit sudah menghantar jemputan kepada Pelakon Lelaki Terbaik (TV) Anugerah Seri Angkasa 1999 itu lebih awal.

Filem itu akan menemui penonton di pawagam tanah air bermula 18 Jan ini.

Baru-baru ini, tular kiriman mesej seorang individu yang mendakwa dia sebagai Aman Graseka dan sedang mengalami masalah kewangan.

Individu terbabit berkata dia terpaksa meminta bantuan rakan-rakan artis untuk memberi makan dan membelikan lampin anaknya.

S Baldev Singh

Bagaimanapun beberapa rakan artis serta bekas isteri Aman, Mas Idayu, mengesyaki kiriman mesej berkenaan sebenarnya didalangi oleh seseorang yang rapat dengan pelakon terbabit.

Bahkah ada segelintir yang melabelkan individu berkenaan sebagai “scammer dalam rumah”.

Menurut Baldev, keprihatinan yang ditunjukkannya bukan bermaksud dia mempunyai apa-apa hutang belum dilunaskan kepada Aman.

Katanya, bayaran pelakon itu sewaktu melakonkan Jiwa 8 Belas sudah diselesaikan sebaik penggambaran membabitkannya berakhir.

“Saya dah bayar semua gaji dia. Saya tak ada apa-apa hutang pun dengan dia.

"Saya ikhlas nak bantu kerana sedih apabila baca berita tak sedap mengenai Aman,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS