Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelacuran itu jenayah berat dalam Islam, kata Na'im
Diterbitkan:  Jan 9, 2024 3:18 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Kerajaan menempelak cadangan dikemukakan pelakon, penerbit, pengarah dan usahawan Rosyam Nor yang baru-baru ini mencadangkan agar rumah pelacuran 'halal' dibuka di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Moktar, berkata tidak ada sesiapa pun sepatutnya mengeluarkan kenyataan sehingga menimbulkan polemik yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Katanya kegiatan pelacuran adalah jenayah berat di sisi undang-undang Islam dan ia termasuk dalam kategori hudud, manakala ia juga dianggap salah oleh Kanun Keseksaan.

Justeru, cadangan yang diberikan (oleh Rosyam) adalah bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah, bahkan secara jelas bertentangan dengan prinsip ajaran Islam dan maqasid al-syariah.

"Berdasarkan kedudukan ini, cadangan untuk membuka rumah pelacuran seperti yang diutarakan itu tidak boleh diterima sama sekali dan sewajarnya ditolak oleh segenap lapisan masyarakat.

"Dalam mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi, kaedah fikah berikut sewajarnya dijadikan panduan: kemudaratan itu tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan cadangan Rosyam agar rumah pelacuran yang khusus untuk pekerja asing di negara ini diwujudkan sebagai langkah mengekang jenayah rogol.

Pelakon KL Menjerit itu mendakwa warga asing terbabit berada berjauhan dengan isteri masing-masing namun pada masa sama masih mempunyai nafsu.

Cadangan teramat bodoh

Langkah itu juga katanya dapat mengelakkan wanita negara ini menjadi mangsa pekerja asing berkenaan.

Sementara itu bekas pengarah eksekutif Women’s Aid Organisation (WAO), Ivy Josiah, berkata Rosyam sebenarnya tersalah faham dengan isu rogol.

Katanya jenayah itu boleh diatasi dengan mendidik orang ramai - khususnya lelaki - agar sentiasa menghormati wanita dan menerima hakikat bahawa mereka adalah setara.

“Kita mesti menangani budaya rogol, menghentikan keganasan terhadap wanita dalam media dan mengkaji sikap dan tingkah laku kita terhadap gadis dan wanita,” katanya kepada Malaysiakini.

Selain itu Ivy menjelaskan tidak ada bukti menunjukkan pekerja asing bertanggungjawab dalam sebahagian besar kes rogol, bahkan hampir 90 peratus kes yang dilaporkan melibatkan ahli keluarga mangsa atau individu yang dikenalinya.

Katanya keberadaan undang-undang melibatkan pekerja seks tidak terbukti menurunkan kadar jenayah rogol dengan ketara dan ia dapat dilihat di negara yang menghalalkan kegiatan pelacuran seperti Australia serta Eropah.

Ivy Josiah

Dia juga mengingatkan pekerja seks juga terdedah kepada perbuatan rogol.

Bagi Sisters in Islam kenyataan Rosyam semalam adalah suatu sikap xenophobia (antiwarga asing) yang menyeluruh.

“Rogol adalah isu serius yang bukan saja menyebabkan kecederaan fizikal tetapi juga trauma pada emosi, psikologi dan mangsa sering gagal dipulihkan.

"Penyelesaian kepada isu kritikal sebegini harus datang daripada sumber yang disahkan dan saluran rasmi," kata SIS.

Personaliti agama, Mohd Ridhuan Tee Abdullah, turut mengecam cadangan Rosyam dan menegaskan, setiap masalah wajar ditangani mengikut perspektif agama masing-masing.

Katanya saranan selebriti terbabit sekadar menampakkan kebodohannya sendiri.

“Ini bukan penyelesaian, ini cadangan yang teramat bodoh. Saya syorkan kepada mereka ini, pergilah mengaji.

“Jangan jadi artis yang jahil," katanya sambil menyarankan agar Rosyam bertaubat.

Tambah Ridhuan, cadangan Rosyam itu juga diyakini hanya akan menambah masalah sedia ada.

“Saya yakin, jika cadangan ini diterima, yang ramai jadi pelacur nanti adalah anak-anak kita, bukannya dalam kalangan pekerja asing ini," katanya.

Juwairiya Zulkifli

Sementara itu Wanita PKR pula menganggap cadangan Rosyam bukan saja bercanggah dengan Islam, malah jelik serta merosakkan institusi keluarga.

Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli, berkata pemikiran seperti itu tidak boleh sama sekali dinormalisasikan.

"Memang isu dalam kalangan pekerja warga asing di negara ini harus diselesaikan secara tuntas, namun saranan tersebut adalah salah dari segi undang-undang dan tidak menghormati Dasar Keluarga Negara.

"Wanita mahupun lelaki harus dihormati sebagai insan yang bermaruah, bukannya sebagai objek untuk dimanipulasi mahupun didiskriminasi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS