Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
OKU antara jemaah meriahkan Subuh Macam Jumaat Aliff Satar
Diterbitkan:  Jan 3, 2024 6:12 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Usaha penyanyi dan pengacara, Alif Satar, mengimarahkan solat Subuh bukan saja disertai segenap lapisan usia, bahkan turut berjaya menarik perhatian golongan orang kurang upaya (OKU).

Menurut Alif, seorang daripada jemaah yang menyertai misi Geng Subuh Macam Jumaat itu adalah pemuda bernama Muhammad Khodri.

“Bukan saja (waktu) Subuh, tapi semua lima waktu Khodri akan berjemaah di masjid,” katanya.

Sebelum ini, Alif mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya menyuntik kira-kira 3,000 untuk berjemaah di sebuah masjid sekali gus menyertai usahanya itu pada hari pertama 2024.

Acara solat subuh berjemaah itu kemudian disusuli dengan aktiviti berjoging beramai-ramai.

Lebih mencuit hati, segelintir jemaah tidak kisah menyertai acara larian itu walaupun mereka memakai kain pelikat dan berselipar.

Pada 30 Dis lalu, Alif diduga dengan kemalangan mengakibatkannya mengalami kecederaan ringan sewaktu dalam perjalanan ke rumah ibu bapanya di Hartamas.

Bagaimanapun, Alif berkata, dugaan kecil itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan misi Geng Subuh Macam Jumaat pada 1 Jan lalu.

Geng Subuh Macam Jumaat adalah inisiatif digerakkan Alif sejak Nov tahun lalu bertujuan mengajak lebih ramai umat Islam hadir ke masjid pada waktu subuh untuk bersolat berjemaah.

Mengakhiri hantaran sama, Alif sempat melontarkan kata-kata secara sinikal kepada mereka yang belum membuka mata untuk menyertai usahanya.

Katanya, walaupun Khodri OKU, pemuda itu tidak lupa untuk menunaikan tanggungjawabnya kepada Maha Pencipta, justeru, tidak ada sebab untuk individu yang mempunyai tubuh badan sempurna tidak rajin menunaikan solat.

“Siapa yang kurang upaya sebenarnya? Semoga Khodri masuk syurga,” kata penyanyi Lelaki Seperti Aku itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS