Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Wartawan Fiza Kamaruddin kembali ke rahmatullah
Diterbitkan:  Dec 29, 2023 12:01 AM
Dikemaskini: 4:30 PM

Wartawan hiburan Siti Nor Hafiza Kamaruddin yang dilaporkan kritikal di sebuah hospital di London meninggal dunia.

Suami allahyarhamah Mohd Roshdi Ramli memaklumkan isterinya menghembuskan nafas terakhir pada 3 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia).

“Perkembangan terkini dia (Siti Nor Hafiza) baru sahaja menghembuskan nafas terakhir pukul 3 petang,” katanya seperti dipetik Bernama.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga wartawan yang dikenali dengan nama pena Fiza Kamaruddin.

"Innalillahi wa inna ilaihi raji’un...

"Malam ini saya menerima khabar duka. Beliau telah meninggal dunia.

"Saya ucapkan takziah buat keluarga Allahyarhamah Fiza Kamaruddin. Semoga keluarga Allahyarhamah tabah dengan ujian yang berat ini," katanya pada satu kenyataan.

Terdahulu, Siti Nor Hafiza, 40 dirawat di Hospital Charing Cross, London selepas dilaporkan tidak sedarkan diri ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow semalam untuk pulang ke Malaysia selepas bercuti.

Wartawan portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU Media itu terpilih menerima tajaan pakej melancong bersama keluarga ke London dan berlepas bersama Mohd Roshdi dan dua cahaya mata mereka pada pertengahan bulan ini.

Sebelum ini, suaminya dilapor memberitahu isterinya menghidap penyakit kanser payudara yang menyerang semula selepas enam tahun bebas daripada penyakit itu.

“Dia (Siti Nor Hafiza) memang ada sejarah kanser payudara, selepas enam tahun (penyakit itu) datang semula dan menyerang hati dia.

“Selain itu, kanser berkenaan juga telah merebak ke bahagian kepala dan seluruh badan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS