Persatuan Karyawan Malaysia (Malaysia) berharap anak-anak penyanyi dan artis versatil 1980-an, Isma Aliff datang menjenguk bapa mereka dalam waktu terdekat.
Katanya, dengan lawatan itu, mungkin Isma yang sering menangis rindukan anak-anaknya akan mampu kembali ceria.
“Kami berharap kedua-dua anak Isma dapat kunjungi bapa mereka di hospital atau masa akan datang,” katanya kepada Malaysiakini.
Freddie dan Setiausaha Karyawan, Rozita Rohaizad baru-baru ini menziarahi pelakon Marah-Marah Sayang itu yang dirawat di Hospital Ampang akibat serangan angin ahmar dan tekanan darah tinggi sejak 16 Disember lalu.
Keadaan Isma juga dilaporkan semakin pulih walaupun masih perlu bergantung kepada alat bantuan pernafasan serta masih mengalami strok ringan pada tangan kiri.
Dalam lawatan tersebut, Karyawan turut menghulurkan bantuan dalam bentuk sumbangan kewangan kepada Isma, 59.
Menurut Freddie, Isma merupakan orang lama dalam industri yang berbakat dan dia paling dikenali sebagai pelawak dan juruacara.
Justeru, katanya, dia berharap lawatan mereka ke hospital dapat membuatkan artis itu kembali bersemangat untuk mengatasi masalah kesihatan yang dialami.
“Turut hadir adik perempuan Isma, Shamsidah Ismail selain beberapa kawan lama dari sekolah Isma yang diketuai oleh Jalil Bahari, yang mengenali Isma sejak tahun 1971 yang lalu,” ujarnya.
Freddie berkata, Shamsidah juga memaklumkan dia pernah cuba menghubungi anak-anak Isma namun tidak berjaya.
Justeru katanya, dengan adanya berita mengenai keadaan bapa mereka, diharapkan ia dapat membantu dalam usaha memulihkannya.
“Apa-apa pun kami berharap Isma akan cepat sembuh dan akan ada peluang untuk kembali ke industri seni.
“Selepas lawatan kami, nampaknya ia sedikit-sebanyak memberikan Isma semangat untuk mengambil langkah-langkah yang sepatutnya bagi mengatasi masalah kesihatannya dan kemudian kembali aktif dalam bidang seni dalam masa terdekat ini, doakan yang terbaik,” katanya.