Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Konsert Milenia diteruskan, Zepp KL lokasi baru
Diterbitkan:  Dec 28, 2023 12:42 PM
Dikemaskini: 4:49 AM

Konsert Milenia yang tertunda sebelum ini bakal diteruskan, selepas mendapat lokasi baru iaitu Zepp Kuala Lumpur.

Konsert yang membawa Ratu Dangdut Malaysia Amelina dan Mas Idayu itu dijadualkan berlangsung pada 27 Januari tahun depan.

Acara itu menggabungkan dua lagenda dangdut tanah air untuk menghiburkan semua peminat dangdut dengan lagu-lagu hits mereka yang pernah popular suatu ketika dulu.

Kehadiran artis dangdut sensasi Baby Shima sudah pasti menggamatkan lagi Konsert Milenia bersama Ani Maiyuni yang bakal mendendangkan lagu Dasar Buaya Cinta yang trending di Tiktok baru baru ini.

Konsert Milenia adalah gabungan kerjasama Malaysia dan Indonesia untuk mengeratkan lagi jalinan genre dangdut di antara dua negara.

Selain artis tempatan, selebriti popular Indonesia seperti Hesty Klepek-Klepek, Rheyna Morena dan Thomas Arya juga sudi menjalin menjalin kerjasama.  

Tambahan lagi Thomas, seorang penyanyi lagu-lagu slow rock yang telah mendapat julukan nama King Of Slow Rock kerana kelunakkan suara yang pernah popular dengan lagu Bunga dan berbeza kasta. 

Bagaimanapun, penganjur memohon maaf kerana Siti Badriah dan Fitri Carlina tidak dapat turut serta memandangkan tarikh konsert yang bercanggah dengan jadual mereka di Jakarta.

Konsert Milenia juga akan mempersembahkan sentuhan DJ Dugem yang akan memainkan lagu-lagu trending di tiktok dalam irama dugem sudah pasti membawa sebuah kelainan dari konsert yang lain. 

Menurut Pengarah Urusan Mission Sight Sdn Bhd, Jeffri Yaacob, pihaknya percaya  Zepp KL akan penuh dengan kehadiran peminat Dangdut Lovers tanah air kerana ia merupakan konsert yang julung kali diadakan.

Katanya, pentas yang dianggap berprestig itu sudah pasti akan dihadiri oleh ramai golongan kelas atasan kerana Zepp mempunyai ruang VVIP yang sangat selesa, cantik dan berkelas. 

“Kami berdepan dengan cabaran besar tentang perang persepsi sehingga kerana faktor keadaan dan situasi semasa mengakibatkan ianya terpaksa ditunda atas permintaan pihak berwajib yang tidak dapat mengeluarkan permit hiburan sementara pada tarikh sebelum ini. 

“Meskipun kapasiti penonton di Zepp KL tidak berskala besar seperti di Stadium Malawati Shah Alam, namun mocap pertama ini perlu direalisasikan. 

“Ini kerana memperjuangkan dan mengangkat serta memartabatkan irama muzik dangdut adalah keutamaan kami,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, konsert berkenaan pernah ditunda antaranya bagi menghormati konflik Palestin-Israel. 

Bahkan, ia juga dibuat bagi mengelak lebih banyak perasaan tidak berpuas hati masyarakat tempatan terhadap penganjuran konsert dari luar di negara ini. 

Konsert Milenia yang menggabungkan penyanyi Malaysia dan Indonesia itu pada asalnya dikenali sebagai Konsert Goyang Asia Koplo Milenia namun kemudian ditukar bagi mengelak persepsi lucah.

Tambah Jeffri, konsert itu juga mahu membuktikan corak persembahan tidak boleh keterlaluan, cara persembahan yang perlu mengikut spesifikasi garis panduan Puspal. 

“Dengan perubahan tempat dalam skala yang lebih kecil dari perancangan asal sudah pasti mempunyai pelbagai perubahan strategi termasuklah perubahan harga.

“Kepada pembeli tiket sedia ada sebelum ini pihak kami akan memaklumkan kedudukan zon baru yang akan ditempatkan menggantikan zon lama melalui email masing-masing,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS