Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tourism Perak anjur wayang pacak tayang filem Mamat Khalid

Tourism Perak akan menganjurkan wayang pacak dengan menayangkan tiga filem hasil karya pengarah tersohor, Allahyarham Mamat Khalid di Silverlakes Village Outlet, Batu Gajah selama tiga hari berturut-turut bermula 30 Dis ini.

Tourism Perak menerusi hebahan di laman Facebook rasminya memaklumkan penganjuran wayang pacak itu sebagai menghargai dan memberi penghormatan kepada pengarah kelahiran Ipoh itu yang terkenal dalam penghasilan karya-karya humor sarat dengan mesej serta sindiran tajam.

"Bermula 30 Dis, filem pertama yang akan ditayangkan ialah Man Laksa Dalam Malam Amal Kampung Talang pada 2.30 petang diikuti Zombi Kampung Pisang pada 3.30 petang, 31 Dis.

"Filem yang sentiasa menjadi bualan orang ramai Hantu Kak Limah Balik Rumah pula akan ditayangkan pada 8 malam, 1 Jan nanti,” menurut hantaran itu.

Tourism Perak memaklumkan penayangan filem itu juga diadakan bersempena Pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 dan Sambutan Ambang tahun Baru 2024.

"Kome digalakkan membawa kerusi ‘healing’ atau ‘bean bag’ untuk keselesaan. Usoh riso kome! Masuk adalah percuma," menurut Tourism Perak.

Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid yang berasal dari Sungai Rokam, di sini, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Slim River, Tanjung Malim pada 24 Okt 2021.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS