Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
GSC tukar kalimah Allah, promosi Sijjin dengan poster lulus LPF
Diterbitkan:  Dec 27, 2023 7:57 PM
Dikemaskini: 11:57 AM

Golden Screen Cinemas (GSC) bertindak menukar poster awal filem seram syarikat produksi Indonesia, Sijjin susulan reaksi kurang senang banyak pihak terhadap penggunaan kalimah Allah pada iklan berkenaan.

Pihak pempamer terbabit kini menggunakan poster berbeza yang mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) bagi tujuan mempromosi di laman sesawang mereka.

Poster filem terbitan Rapi Films bersama Sky Media dan Legacy Pictures itu sebelum ini mengundang kritikan masyarakat tempatan selepas didakwa menyentuh sensitiviti agama Islam.

Ia disifatkan keterlaluan kerana kalimah Allah itu ditulis pada kain hitam yang membaluti tubuh wanita dipercayai sedang dirasuk.

Bahan promosi filem itu antaranya mengundang perhatian Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang kemudian mengarahkan poster tersebut ditukar.

Muhammad Fauzi Jaafar

Selain Finas, ia turut mengundang komen pendakwah bebas, Muhammad Fauzi Jaafar yang mempertikai tindakan GSC dalam mempromosi pengedaran filem berkenaan.

“Poster itu ada gambar orang kena rasuk. Kemudian dia diselubungi dengan kain yang jelas ada ayat al-Quran walaupun tak ditulis dengan sempurna.

“Saya tertanya-tanya bagaimana pihak pawagam menguruskan poster-poster tersebut. Macam mana mereka menyelesaikan sebab itu adalah ayat al-Quran yang sebenarnya tak boleh ditulis pada tempat tak sepatutnya.

“Melainkan poster itu untuk program-program keagamaan maka bolehlah.

“Tapi kalau ada orang bergambar dengan poster itu tak menutup aurat dan sebagainya… ia adalah satu perkara yang sangat pelik bagi kita,” katanya.

Poster awal Sijjin yang menjadi pertikaian.

Sijjin adalah remake daripada filem seram box office dari Turki, Siccin yang diterbitkan pada 2014.

Filem mendapat arahan pengarah terkemuka Indonesia, Hadrah Daeng Ratu dan ditulis penulis skrip Lele Laila itu akan menemui penonton tempatan bermula esok.

Sijjin menampilkan barisan pelakon berbakat Indonesia, seperti Ibrahim Risyad dan Anggika Bolsterli selaku teraju utama disamping barisan pelakon pembantu, Messi Gusti, Delia Husein, Niken Anjani, Dewi Pakis, Oce Permatasari, Elly D. Luthan, Deni Saputra, dan M.N. Qomaruddin.

Muhammad Fauzi pada masa sama menegur tindakan GSC menjadikan gimik hantu bertelekung membawa jenazah lengkap dikafankan bertujuan untuk menakut-nakutkan penonton pada hari tayangan awal filem berkenaan pada 22 Disember lalu.

Katanya, gimik sedemikian dikhuatiri boleh menimbulkan salah faham terutama dalam kalangan mereka bukan Islam yang mahu menonton filem berkenaan.

“Saya tak tahu apa manfaat buat macam itu, apa mesej yang nak disampaikan?

“Orang solat pakai telekung tapi adakah orang yang pakai telekung ini hantu? Macam itulah… pelik-pelik sekarang ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS