Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nora Danish enggan hasilkan karya sekadar suka-suka

Pelakon Nora Danish ketika ini enggan tergesa-gesa duduk di bangku pengarah kerana beranggapan ilmunya dalam bidang itu masih belum mencukupi.

Justeru, kata Nora, dia masih perlu menuntut kemahiran yang sepatutnya supaya dapat menghasilkan karya bermutu.

“Memang sebelum ini pernah beritahu nak buka syarikat produksi sendiri tapi terus-terang saya katakan perkara itu bukan mudah.

“Saya tak mahu hasilkan karya pertama sekadar suka-suka dan sudah tentu apabila dah jadi pengarah, kita kena lakukan yang terbaik.

“Jadi, saya perlu ada pengalaman dan pengetahuan yang cukup dulu sebelum buat sesuatu. Disebabkan dua perkara itu, saya rasa mungkin lambat lagi akan duduk di kerusi pengarah, biarlah orang lain lebih layak buat dulu,” katanya.

Mengenai kariernya sebagai pelakon, isteri kepada Mohamad Nedim Nazri itu berkata, ada sebab tertentu yang membuatkan kelibatnya dilihat semakin jarang muncul sama ada di kaca televisyen mahupun layar lebar.

Alasan Nora, 41, ‘kehilangannya’ itu disebabkan dia tertunggu-tunggu tawaran yang lebih menarik.

“Saya tak perlahankan karier lakonan pun, cuma tak ada tawaran menarik. Sudah lama berlakon, sekarang saya lebih matang.

“Jadi, saya mahukan naskhah yang berbeza. Cemburu sebenarnya lihat kawan-kawan yang dapat tawaran menarik.

“Tipulah kalau kata saya tak rindu berlakon, masih menunggu skrip yang bagus dan harap tahun 2024 adalah rezeki dapat watak menarik dan skrip hebat,” katanya.

Nora berkata demikian pada majlis pratonton filem Sayu Yang Syukur di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Naskhah yang mendapat arahan dan turut dilakonkan Aaron Aziz itu akan menemui penonton di pawagam tanah air bermula esok.

Karya ‘diperam’ lapan tahun itu berkisahkan watak Liana yang dilakonkan Nora berdepan kemalangan dan pengalaman tragis yang menyebabkan maruahnya tercalar.

Sejak itu, Liana yang kerjayanya membimbing mangsa rogol untuk pulih berdepan pelbagai konflik dan tekanan perasaan.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan Aaron, Nora menyifatkan pengarah itu sebagai seorang pengarah yang bertimbang rasa.

Katanya, dia mengagumi malah selesa bekerja di bawah arahan pengarah baru itu.

“Nampak saja mukanya garang dan selalu berlakon cerita gangster tapi ramai mungkin tak tahu dia pengarah yang baik dan berkaliber.

“Sewaktu di set tak pernah saya dengar dia marah-marah. Kalau tak suka, dia minta kita (pelakon) lakukan semula,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS