Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
ULASAN | Dunki papar kisah Pati antara realiti, humor

ULASAN SENI | Jika peminat filem Bollywood biasanya dihidangkan dengan kisah romantis, politik dan rasuah mahupun gangsterisme, penonton akan menyaksikan sesuatu yang berbeza dengan Dunki kerana pengarahnya kali ini memilih untuk mengetengahkan isu pendatang haram.

Dunki berkisahkan isu pendatang haram atau pendatang tanpa izin (Pati) yang dilakukan ramai di India Utara terutama dari Punjab demi kedudukan sosial lebih baik dalam kehidupan serta menjana pendapatan untuk diri sendiri.

Isu tersebut sering mendatangkan impak kepada sesebuah negara namun Rajkumar Hirani bijak mengolah jalan ceritanya apabila menyuntik elemen kemanusiaan dan disampaikan selang-seli dengan humor serta satira untuk menjentik emosi penonton.

Naskhah ini tampil dengan kekuatan tersendiri melalui jalan ceritanya serta persembahan pelakon yang mantap seperti Shah Rukh Khan (SRK) dan Taapsee Pannu.

Ia turut dijayakan oleh Boman Irani, Vicky Kaushal, Vikram Kochhar, Boman Irani, Anil Grover dan Dharmendra.

Dunki secara amnya bermaksud laluan keldai atau kaedah haram digunakan individu yang merentas sempadan dengan menggunakan pintu belakang di negara lain.

Naskhah berdurasi 2 jam 41 minit itu secara ringkasnya bermula daripada babak memaparkan Manu, watak dilakonkan Taapsee, yang sedang sakit tenat melarikan diri dari hospital.

Manu kemudian bertemu seorang peguam Putu Patel dan memintanya menghubungkan dia dengan bekas kekasihnya iaitu Hardayal Sukhdev Singh Dhillon atau Hardy (SRK) untuk membawanya pulang ke tanah air dengan kaedah dunki.

Bermula dari situ, perjalanan cerita kembali mengimbau detik pertemuan Manu dan Hardy 25 tahun lalu. Hardy seorang askar yang baru saja pulih daripada kecederaan asalnya pergi ke Laltu bagi mencari lelaki yang telah menyelamatkan nyawanya.

Namun, selepas mengetahui lelaki berkenaan yang merupakan abang kepada Manu sudah pun meninggal dunia, Hardy kemudian berjanji untuk membantu wanita itu dan rakan-rakannya ke London atas rasa terhutang budi.

Manu, Buggu (Vikram) dan Balli (Anil) - tiga sahabat - yang mempunyai impian sama iaitu ke London bagi mengubah kehidupan. Malangnya, kesukaran mendapatkan visa menjadi halangan.

Dari sinilah ketiga-tiganya komited menempuh pelbagai cabaran untuk mendapatkan visa, bermula dengan belajar bergusti kepada perkahwinan dan ijazah palsu hingga akhirnya menjadi mangsa penipuan.

Mereka juga membuat keputusan untuk belajar bahasa Inggeris dengan harapan boleh mendapatkan visa pelajar apabila semua kaedah lain yang digunakan tidak berjaya.

Namun, apabila masih berdepan kegagalan mendapatkan visa, ia membuatkan mereka tiada pilihan lain selain menggunakan laluan dunki.

Kisah dipaparkan dalam Dunki secara tidak langsung mendedahkan realiti kehidupan yang sukar dan cabaran sebenar yang perlu dilalui seseorang yang terdesak sehingga memutuskan untuk meninggalkan negara mereka demi kehidupan lebih baik di negara orang.

Hakikatnya, perjalanan yang ditempuh tidak semudah yang disangkakan apabila keinginan kadang-kala tidak tercapai kerana ia di luar kemampuan dan sempadan hingga ada dalam kalangan mereka yang secara tidak langsung menempah maut.

Ia juga sekali gus membuatkan seseorang berjauhan dan kehilangan orang yang mereka sayangi.

Rajkumar turut menyelitkan beberapa imej fakta dan statistik yang berlaku terhadap Pati dalam filem yang skripnya ditulis bersama Abhijat Joshi dan Kanika Dhillon itu.

Kisah Dunki yang sarat emosi dan memaparkan bagaimana persahabatan boleh menjadi lebih akrab, percintaan, detik-detik yang menyayat hati dan mengharukan semuanya diolah menjadi satu. Naskhah ini wajar dipertimbangkan untuk menjadi santapan santai penonton.


NADIA AZAM ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS