Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shiha Zikir anggap rezeki Kalam lolos AJL38
Diterbitkan:  Dec 20, 2023 4:13 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Penyanyi Shiha Zikir bersyukur apabila dia berjaya membuktikan lagunya yang dilabel sendu, Kalam baru-baru ini berjaya lolos ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38).

Kata Shiha, dia berlapang dada dengan cemuhan segelintir pihak mengenai lagu itu pihak malah menegaskan dari dulu sampai sekarang prinsipnya sama iaitu mementingkan kualiti berbanding kuantiti.

“Jika benar sambutannya sendu, tak mungkin lagu ini akan dipilih sebagai 30 buah karya di peringkat separuh akhir kerana untuk berada di Semi Final Muzik-Muzik (SFMM38), ia perlukan undian yang cukup daripada peminat,” jelasnya.

Pengumuman Kalam, hasil nukilan Shiha sendiri bersama komposer muda Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves turut mengundang sebak dan terharu penyanyi berkenaan.

Katanya, ramai peminat sedar kewujudan lagu Kalam dan mengundinya hingga ke tahap ini.

“Apabila layak ke AJL38, rasa gembira dan bersemangat memandangkan lagu ini sangat bermakna buat Shiha kerana ia sebuah lagu tradisional fusion.

“Shiha memang nak sangat lagu-lagu berentak tradisional macam ini layak ke peringkat tertinggi seperti AJL,” ulasnya.

Pada acara kemuncak SFMM38, sebanyak 12 lagu diumum berjaya mara ke pentas AJL38.

AJL 38 dijadualkan berlangsung pada 3 Mac tahun depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Selain itu, terdapat beberapa pihak mempertikaikan kemasukan Shiha ke peringkat akhir AJL38 yang disifatkan terlalu kerap sejak Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35).

Namuni, Shiha menjelaskan setiap kali menghasilkan karya baru, dia memang meletakkan AJL sebagai penanda aras dalam memastikan kesemua lagu-lagu yang dihasilkan berkualiti selain memenuhi cita rasa pendengar.

“Kali pertama sewaktu AJL35, saya masuk sebab menggantikan Siti Nurhaliza menyanyikan lagu 7 Nasihat.

“Pada edisi AJL36 barulah buat julung kalinya saya lepas ke pentas akhir dengan lagu nyanyian sendiri iaitu AEWO bersama Noki.

“Tahun lepas adalah yang kedua kalinya menerusi lagu Irama. Itupun saya cuma menang kategori Persembahan Terbaik, bukannya menang keseluruhan,” katanya.

Senarai lagu lain mara ke pentas AJL38 seperti berikut:

Jangan Mati Rasa Itu – Aina Abdul
Sutera – Aisha Retno
Santai – Faizal Tahir (Penyanyi: Naqiu)
Inilah Jalannya – Masdo
Astana – Ernie Zakri
Darah – Marsha Milan
Hasrat – Amir Jahari
Kucuma – Dato’ Jamal Abdillah & Wany Hasrita
Bintang – Hael Husaini
Waktu – Hasif Upin & Ziana Zain
Selagi Ku Ada – Khai Bahar & Nabila Razali


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS