Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
M Daud Kilau kembali ke rahmatullah
Diterbitkan:  Dec 18, 2023 6:30 PM
Dikemaskini: Dec 19, 2023 3:28 AM

Penyanyi mendapat julukan Raja Gelek Malaysia, M Daud Kilau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 4.40 petang tadi di Hospital Teluk Intan, Perak.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 85 tahun.

Berita dukacita itu disampaikan anaknya, Ahmad Zaini M Daud melalui kiriman pesanan ringkas aplikasi WhatsApp kepada media.

Ahmad Zaini, 52, memaklumkan kesihatan bapanya merudum sejak dimasukkan ke hospital minggu lalu.

Allahyarham sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas.

Penghibur itu juga berada dalam pemantauan rapi doktor serta terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

M Daud yang berdepan masalah kesihatan sejak enam tahun lalu pernah menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Penyanyi lagu Cek Mek Molek itu sebelum ini pernah menyuarakan keinginan untuk kembali menghiburkan peminat namun terpaksa melupakan hasratnya berikutan keadaan kesihatannya.

Kali terakhir M Daud atau nama sebenarnya Muhammad Daud Kilau beraksi di pentas sekitar tujuh tahun lalu dan selepas itu dia tidak aktif walaupun masih menerima undangan.

Anak kelahiran Bagan Datuk itu mula menceburi bidang seni selepas dia menjuarai Bintang Radio di Singapura pada 1968 menerusi lagu Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis.

Allahyarham terus mencipta nama sebagai artis rakaman memuatkan lagu bergenre langgam, asli serta dangdut dan pernah menjuarai pertandingan Pesta Dendang Rakyat kategori Nyanyian Asli pada tahun 1985.

M Daud pernah dikurniakan darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Sultan Perak pada 1991 sebagai pengiktirafan jasanya dalam bidang seni.

Jenazah M Daud dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk esok.

Sementara itu, Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham menerusi satu hantaran di Facebook.

“Mendoakan allahyarham diampuni rohnya dan diberi tempat yang terbaik di sisi-Nya.

“Semoga Allah SWT kurniakan kesabaran tingkat tinggi kepada keluarganya. Terima kasih kerana pernah menghiburkan masyarakat di Malaysia dan menjadi antara permata tanah air,” katanya.

Anwar kini dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Jepun sejak 15 Dis lalu antara lain bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Jepun.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam hantaran di Facebook pula menyifatkan pemergian penyanyi legenda itu adalah suatu yang mengejutkan dan tiada galang ganti.

Ahmad Zahid berkata allahyarham yang merupakan anak jati Bagan Datuk, Perak itu mempunyai karya seni yang bukan sahaja menjadi kebanggaan masyarakat di daerah itu, tetapi juga di seluruh negara.

“Malaysia kehilangan seorang lagi permata seni tanah air, Allahyarham Datuk M Daud Kilau yang cukup berbakat dan berjiwa besar.

“Takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham dan semoga tabah menghadapi ujian ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS