Pemain dram terkemuka yang digelar Ikon Irama Jazz Malaysia, Lewis Pragasam, 66, meninggal dunia akibat serangan jantung malam tadi.
Dia dilaporkan rebah ketika menjayakan konsert Music of Christmas di Good Shepherd Assembly of God, Petaling Jaya sempena Krismas. Ketika kejadian, mendiang dilapor sedang beraksi bersama pemain muzik jaz yang lain termasuk Willie Rebanno dan David Yee.
Mendiang kemudiannya dikejarkan ke sebuah hospital swasta dan meninggal dunia pada jam 3 pagi tadi.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi peminatnya, Pragasam, meninggal dunia di Hospital Beacon, Petaling Jaya, Selangor.
Sabtu lepas, laman Facebook rasmi peminatnya memuat naik video Pragasam berinteraksi dengan peminat di Eco Drum Jam di Plaza Shah Alam.
Pragasam merupakan seorang pemuzik yang dihormati dari Asia dan telah menerima sanjungan tinggi antarabangsa sebagai pemain genderang terbaik Asia dan peneraju trend baharu dunia muzik.
Pengasas projek perintis Asiabeat pada tahun 1979 itu, telah membuat persembahan bersama ramai artis terkenal antarabangsa seperti Tony Levin, Billy Cobham dan Guru Karakkudi R Mani, selain Royal Command Performance untuk Putera Wales, Putera Charles (Prince Trust Concert) di Edinburgh, Scotland pada tahun 1995.