Pelakon, Hafidz Roshdi sah bergelar suami kepada Athira Yuhada dalam majlis yang diadakan di Shah Alam malam tadi.
Melalui hantaran yang dimuat naik di Instagram, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi yang memakai baju Melayu berwarna putih berkongsi video dia menyempurnakan lafaz ijab kabul dengan menyertakan mas kahwin bernilai RM300.
Pelakon drama Aku Pilih Kamu itu dinikahkan oleh jurunikah yang berwakil walikan bapa Yuhada iaitu Abu Bakar di Glass House Event Space di Glenmarie, Shah Alam.
Hafidz, 29, juga dilihat mengesahkan dirinya sebagai milik Athira melalui ungkapan “Alhamdulillah #HafidzAthira" yang mengiringi gambar yang dikongsinya.
Sebelum ini, berita mengenai perkahwinan pasangan itu menjadi bualan di media sosial selepas kad undangan perkahwinan yang tertera nama mereka berserta maklumat lokasi majlis tular.
Hafidz pernah mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016.
Mereka secara rasmi bercerai pada 27 Julai lalu selepas melalui proses mahkamah yang mendapat liputan meluas media.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 3.
Athira juga didakwa Syuhada menjadi punca keretakkan rumah tangga dia dengan bekas suaminya.
Bagaimanapun, Hafidz ketika ditanya media sebelum ini enggan memberikan sebarang ulasan mengenai dakwaan bakal berkahwin dengan Athira dan memilih untuk mengunci mulut.